• Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
1 /

PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, anak kelahiran Machang, Kelantan, antara pensyarah sains politik yang telah menggunakan banyak masa akademiknya untuk mengkaji perkembangan politik, selain mengkaji pola pengundi dan perkembangan pilihan raya di Malaysia dan Indonesia.

Selain tokoh akademik, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis politik yang mempunyai kelas yang tersendiri dan penilaian terhadap perkembangan politik tanah air malah hasil kajiannya sentiasa mendapat rujukan pelbagai pihak khususnya ahli politik dan pihak berkepentingan terutamanya menjelang pilihan raya umum tahun ini.

Ikuti temu bual eksklusif Sinar Harian Online bersama beliau bagi mendapatkan gambaran sebenar politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai seorang penganalisis dan pemerhati politik, apakah telahan Prof berhubung peluang pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Malaysia?

AGUS: Jika melihat kepada ramalan dari hasil kajian yang dibuat oleh beberapa penganalisis sebelum ini, kedua-dua parti yang bersaing iaitu Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang sama rata.

Prof (Ulung Datuk) Dr. Shamsul Amri Baharudin meramalkan BN akan menang dengan 120 kerusi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meramalkan PR akan menang dengan 125 kerusi, bekas Ketua Ekonomi Bank Islam memberikan peluang yang lebih baik kepada PR, dan begitulah juga dengan banyak kajian lain yang telah diberikan oleh para pengkaji dan penganalisis, lebih kurang seimbang sahaja peluangnya.

Tidak ada seorang pun penganalisis yang berani meramalkan mana-mana parti yang bersaing dapat memenangi dengan dua pertiga majoriti sepertimana yang biasa kita dengar sebelum ini.

Bagi saya pula, setelah penelitian dibuat kepada data yang ada, kedudukan sekarang adalah sengit.

Setiap parti masih mempunyai peluang yang seimbang untuk menang dengan kedudukan sekarang saya dapati BN selesa di 96 kerusi dan PR di 68 kerusi.

Selebihnya 58 kerusi lagi adalah kawasan menarik untuk diperhatikan kerana secara umumnya kerusi-kerusi tersebut mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu yang agak ramai iaitu sekitar 20 peratus.


Kelebihan dan kekurangan BN-PR

SINAR HARIAN ONLINE: Oleh kerana Malaysia satu-satunya negara Komanwel yang belum pernah menukar Kerajaan Persekutuan sejak lebih 50 tahun lalu, adakah Prof menjangkakan peralihan kuasa itu akan berlaku sepertimana yang berlaku di negara-negara jiran yang lain?

AGUS: Saya telah nyatakan bahawa, kedudukan setiap parti yang bersaing sekarang ini sengit dan masing-masing parti belum menunjukkan “winning posture” yang jelas bahawa mereka akan memenangi pilihan raya ini.

Banyak aspek lain yang perlu diberikan perhatian. Saya perhatikan isu-isu kempen, kekuatan jentera parti, janji-janji politik parti, kredibiliti calon, dan imej parti adalah seimbang. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan.

Jika dilihat dari aspek kewangan dan media, saya fikir kekuatan BN melebihi PR dalam soal ini. Tetapi kelebihan BN tidak jauh kerana sekarang ini yang menentukan kemenangan sesebuah parti tidak bergantung semata-mata kepada 3M ('money', 'machinery' dan media) sepertimana dahulunya, tetapi adalah sikap pengundi.

Inilah yang menarik untuk dikaji iaitu tentang sikap pengundi muda, pengundi bandar, pengundi kelas menengah, pengundi kampung, pengundi wanita, pengundi atas pagar, pengundi diam, pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Dengan banyaknya faktor yang masih perlu diambil kira dan senario yang ada sekarang, terlalu awal untuk bercakap tentang perubahan kerajaan.

Satu yang saya pasti ialah jika kerajaan BN masih lagi dapat mengekalkan keselesaan hidup rakyat, maka peluang “status quo” kekal adalah tinggi.

 

Tsunami 2008 PRU13 berbeza

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula tsunami politik 2008, sejauh mana Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan berjaya melenyapkan gelombang itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti?

AGUS: Tsunami 2008 dengan PRU 2013 adalah berbeza. Tsunami 2008 datang tanpa dijangka dan di luar dugaan. Dalam PRU ini, apa juga keputusannya rakyat telah menjangkakannya kerana tidak ada satu parti pun yang akan menang dengan majoriti yang besar.

Apakah kepimpinan Perdana Menteri dapat melenyapkan tsunami 2008 dalam PRU ini? Saya tidak fikir semudah itu kerana seperti yang saya katakan tadi, semuanya adalah seimbang.

Apatah lagi dalam banyak program transformasi yang diumumkan oleh PM, rakyat masih belum menikmati lagi kejayaan dari program tersebut, cumanya dapat menerima beberapa bantuan sosial yang diberi secara “one-off” sahaja. Saya tidak fikir sekadar bantuan “one-off” dapat melenyapkan tsunami 2008.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada pihak mengatakan, tsunami 2008 itu berlaku disebabkan rakyat kecewa dengan kepincangan yang berlaku dalam BN, khususnya Umno baik dari segi salah guna kuasa, rasuah, sabotaj calon PRU12, politik wang dan perebutan kuasa. Oleh sebab itu, rakyat beralih arah kepada pembangkang untuk memberi pengajaran kepada BN supaya insaf dan perbaiki kelemahan parti. Sejauh mana pandangan itu mempunyai asasnya?

AGUS: Semua pandangan di atas mempunyai asasnya dan saling berkait antara satu sama lain.  Namun, masih ada empat lagi faktor besar yang menyumbang kepada berlakunya tsunami 2008.

Pertama ialah kemarahan rakyat kepada kenaikan kos hidup disebabkan oleh tindakan kerajaan waktu itu menaikkan harga minyak dalam kadar yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin pun sebelum ini.

Kedua, pengaruh media alternatif yang cukup luar biasa dalam mempengaruhi pengundi muda dan kelas menengah untuk menolak kerajaan.

Ketika itu, kerajaan BN tidak memberikan perhatian yang besar sangat kepada pengaruh dan keberkesanan media ini berbanding dengan sekarang ini.

Ketiga, faktor calon BN yang menimbulkan ketidakpuasan hati pemimpin dalam BN sendiri. Hal ini panjang untuk dihuraikan tetapi telah dibahaskan dengan baik oleh ramai penganalisis sebelum ini.

Satu lagi faktor yang mempunyai persamaan dengan kedudukan BN sekarang ialah tentang janji-janji politik.

Jika pada 2008, rakyat menaruh harapan yang menggunung tinggi kepada slogan bekerja bersama saya, menghapuskan rasuah, dasar pembangunan koridor bagi setiap wilayah, sekarang ini rakyat juga meletakkan harapan yang tinggi kepada kejayaan pelaksanaan gagasan 1Malaysia, NKRA dan pelbagai program transformasi kerajaan.

Jika pada 2008, harapan tinggi rakyat gagal diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan, saya fikir rakyat juga sedang menilai dengan penuh teliti kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan seperti yang saya tadi.
 

SINAR HARIAN ONLINE: Pembangkang sangat sinonim dengan budaya himpunan jalanan dan demonstrasi di negara ini, yang terbaru ialah Himpunan Kebangkitan Rakyat atau #KL112 di Stadium Merdeka yang telah mencatatkan sejarah apabila ia berlangsung dengan aman, tanpa provokasi pihak tertentu dan tanpa keganasan yang melampau. Adakah ia petanda awal Umno-BN akan berkubur pada PRU13 apabila majoriti yang menyertainya adalah orang Melayu?

AGUS: Saya tidak nampak kaitan sebuah perhimpunan  Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung aman dengan petanda bahawa kerajaan BN akan berkubur dalam PRU13 nanti. Jika perhimpunan berlangsung aman, maka itulah yang kita harapkan dan itulah yang kita mahu.

Biarpun majoriti yang hadir dalam  Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah orang Melayu, data yang kumpulan penyelidik saya kutip mendapati majoriti orang Melayu di desa, di tanah rancangan, hatta di bandar masih bersama dengan BN.

Yang menjadi masalah kepada BN sekarang ialah sokongan bukan Melayu kepada PR sekarang ini padu, satu kelainan ketara dari sikap pengundian mereka sebelum PRU 2008.
Jadi, masalahnya sekarang ialah BN menghadapi krisis keyakinan dari bukan Melayu, bukannya orang Melayu.

 

'One-off' hanya gula-gula sementara

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak akhir-akhir ini Datuk Seri Najib dilihat mendahului pembangkang dengan mengguna pakai idea pembangkang yang diubah suai berhubung program kebajikan seperti BR1M, Bantuan Awal Persekolahan, rebat telefon pintar, PR1MA dan sebagainya. Adakah BN ketandusan idea untuk memikat hati pengundi dengan mengubahsuai idea pembangkang dan menjadikan BN semakin popular. Sejauh mana ia memberi kesan kepada sokongan dan menyumbang kepada peningkatan undi pada PRU13 nanti?

AGUS: Menerima pakai idea pembangkang untuk memberikan bantuan kepada rakyat adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya kerajaan bersedia untuk melaksanakan apa juga idea pembangkang yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Persoalannya bukan itu pada saya. Yang penting dijawab ialah sejauh manakah idea pembangkang itu baik?  Dan sejauh manakah bantuan 'one-off' itu memberi kesan positif pada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat?

Saya harus nyatakan tawaran mana-mana parti yang berbentuk 'one-off' itu hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat bagi mendapat sokongan dalam pilihan raya. Langkah PR yang menjanjikan banyak ‘barang percuma’ sekiranya memerintah dan selepas itu cuba diikuti rapat oleh BN bukanlah dasar ekonomi yang baik.

Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat.

Saya harap selepas PRU13 nanti, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada semuanya sama ada kepada rakyat mahupun ekonomi negara.

Terakhir yang perlu saya jawab ialah sejauh manakah bantuan di atas mempengaruhi sokongan pengundi?  Saya tidak nampak memberikan kesan yang signifikan. Rakyat tidak lagi ghairah dengan bantuan tersebut sehingga ada yang sudah menganggap itu sebagai tanggungjawab kerajaan untuk memberikannya.

Rakyat yang tidak menyokong kerajaan juga sudah diberitahu supaya ambil sahaja bantuan yang diberi kerajaan, tetapi undi jangan bagi. Kesedaran politik rakyat kita sudah semakin banyak berubah.

 
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Prof melihat keterdesakan BN dan PR dalam meraih sokongan hingga menjadikan politik samseng sebagai salah satu cara untuk menjajah minda pengundi dan menyekat kebebasan menyampaikan dakyah masing-masing kepada rakyat.

AGUS: Rakyat tanpa mengira dari parti apa pun tidak boleh menerima politik samseng. Jadi, bagi mana-mana parti yang menggunakan taktik ini, yakinilah itu bukannya yang rakyat mahu.

Oleh itu, harapnya kita sama-samalah meraikan perbezaan parti dan pendapat dengan penuh semangat demokrasi. Buat apa takut pada parti lawan sehingga perlu kepada politik samseng? Saya tidak nampak relevannya sikap seperti ini untuk mendapatkan undi rakyat.

 

Maksimumkan isu

SINAR HARIAN ONLINE: Politik menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Sejauh manakah Prof melihat pelbagai isu kontroversi yang ditimbulkan pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang. Adakah mereka ingin menjadikannya sebagai polemik hingga pilihan raya nanti?

AGUS: Isu hudud, isu kalimah ALLAH, isu cincin, isu rasuah, isu Teoh Beng Hock, isu air di Lembah Klang dan Kelantan dan apa juga isu yang boleh dipolitikkan akan digunakan sampai ke tahap maksimum untuk mempengaruhi rakyat dalam kempen pilihan raya nanti.

Ini kerana isu adalah sentimen yang boleh mempengaruhi pemikiran pengundi. Saya tidak ada masalah dengan penggunaan isu-isu dalam kempen politik, tetapi masalahnya ialah apabila ada isu yang digunakan itu adalah bersifat peribadi dan mengaibkan. Inilah yang tidak baiknya sehingga menampakkan sikap politik kita yang jauh dari matang.

Oleh sebab itulah, saya melihat ahli politik negara kita ini, adalah antara yang terkuat mentalnya di dunia. Ini kerana untuk terjun dalam arena politik negara, maka mereka mesti bersedia bukan hanya sekadar menadah telinga untuk mendengar pujian dan cacian, tetapi juga bersedia untuk ditelanjangkan dan diaibkan.

Saya sendiri jika ditanya bersediakah untuk terjun dalam dunia politik praktis, saya akan segera jawab tidak mahu dan tidak mungkin kerana saya tidak mempunyai kekuatan itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan layanan kerajaan kepada pembangkang dari segi kebebasan bersuara menerusi media arus perdana sepertimana yang diamalkan di Eropah dan negara barat yang lain? Permintaan Presiden Pas untuk menjelaskan Amanat Haji Hadi menerusi stesen tv kawalan kerajaan hingga ke hari ini menjadi persoalan dan pembangkang melihat BN tidak mengamal dasar demokrasi yang luhur dalam hal ini.

AGUS: Saya tidak lihat pembangkang mempunyai peluang untuk mendapat liputan berita yang baik dalam media perdana di negara kita. Sebab itulah ramai sarjana mengatakan pilihan raya di negara kita ini bebas tetapi tidak adil.

Bebas kerana kita adakan pilihan raya secara berkala apabila tiba masanya dan kita boleh terlibat dalam politik tanpa banyak gangguan, tetapi tidak adil kerana media massa perdana dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan.

Mujurnya, bagi mengimbangi penguasaan media perdana kerajaan, wujud media alternatif yang membolehkan parti pembangkang turut bermain ‘politik dalam ruangan.’

Tetapi melihat dari sudut yang lain, saya dapati media pembangkang juga mensensasikan berita sama seperti media kerajaan sahaja.  Itu sudah menjadi tahap profesionalisme kewartawanan berlesen yang ada di negara kita.

Mengenai kebenaran untuk (Presiden Pas Datuk Seri) Tuan Guru Haji Hadi (Awang) muncul di TV kerajaan bagi menjelaskan isu Amanatnya, saya sudah nyatakan sebelum ini bahawa Pas perlu mencari alternatif lain bagi membolehkan Tuan Guru Haji Hadi memberi penjelasannya secara langsung, iaitu melalui media online.

Hujah saya ialah untuk menamatkan Amanat Hadi ini dari terus dipolemikkan. Hujah orang kampung tidak boleh menontonnya jika diadakan secara langsung melalui TV online kerana tidak ada kemudahan internet di rumah.

Telah saya jawab dengan menyatakan perkara ini boleh dimuat naik dalam Youtube atau jualkan sahaja kaset sepertimana amalan Pas sebelum ini.

Saya kira, itu jawapan kepada kekangan yang ada. Tetapi nampaknya cadangan saya tidak diterima. Jika begitu, maka kesemuanya, baik di pihak BN atau PR, sama-sama akan mempolitikkan apa juga isu asalkan di akhirnya akan mendapat laba politik daripadanya.

 
Sidang Parlimen lebih segar

SINAR HARIAN ONLINE: Pada pandangan Prof, sejauh mana pembangkang mempamerkan kualiti perdebatan yang diharapkan di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (Dun)?

AGUS: Pembangkang memainkan peranan yang efektif di Parlimen dan Dun (jika di Dun, ini termasuklah peranan wakil rakyat BN sebagai pembangkang di negeri yang dikuasai oleh PR). Mereka banyak menimbulkan isu-isu substantif yang wajar diberi perhatian oleh rakyat dan juga kerajaan. Tindakan mereka di Parlimen dan Dun, suka atau tidak suka telah membuatkan rakyat kita celik politik hari ini.

Masalahnya adalah dari segi masa perbahasan yang singkat. Masalahnya adalah dari segi mutu perbahasan sesetengah ahli parlimen yang menjadikan Parlimen seperti pasar ikan atau pasar malam. Harus diingat, yang menjadikan sidang Parlimen itu kecoh bukan hanya dari parti pembangkang sahaja, tetapi juga di pihak kerajaan. Ada ketikanya mencelah tanpa izin, ada ketikanya tidak ikut peraturan Dewan, ada ketikanya menggunakan 'point of order' di tempat yang tidak betul.

Tapi keseluruhannya, saya lihat Parlimen kita lebih segar dengan adanya pembangkang yang kuat. Cuma yang perlu kita fikirkan ialah bagaimana hendak munculkan pembangkang yang sihat?

 

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang dapat Prof rumuskan berhubung landskap politik di negara ini? Adakah masih di takuk lama atau sudah berganjak kepada politik baru sepertimana yang dikatakan Datuk Saifuddin Abdullah?

AGUS: Politik kita masih di takuk lama. Di kala dunia bercakap tentang keterbukaan, politik kita masih lagi dipenuhi dengan fitnah memfitnah, caci memaki, benci membenci dan keengganan elit politik untuk berubah. Kempen mereka masih lagi dengan tawaran lama, tanpa ada satu tawaran baru yang lebih menarik. Ini saya lihat kekurangan utama yang ada pemimpin BN khususnya, mungkin kerana sudah cukup selesa setelah sekian lama berada di tampuk kuasa.

Selain itu, di kala kita bercakap tentang hak-hak asasi rakyat, pemimpin kita meminda undang-undang tetapi di akhirnya tidak banyak pun perubahan substantif yang dibuat ke atas undang-undang tersebut. Ia sekadar menukar minuman lama ke dalam botol baru sahaja.

Begitu juga dengan pemimpin pembangkang, banyak juga yang masih belum selesai dari segi tingkah laku mereka. Apabila berceramah, mereka akan menimbulkan kebencian dan menyumpah seranah orang. Ini bukan jiwa seorang pemimpin yang besar. Bercakap juga dengan modal idea yang tidak berkembang dengan isu-isu lama yang sudah luput.

Pendekatan politik Datuk Saifuddin Abdullah luar biasa pada saya. Jiwa besar beliau yang memahami aspirasi generasi kini akan menjadikan beliau relevan dalam politik negara dan beliau berada dalam kelasnya yang tersendiri. Semoganya selepas PRU13 nanti akan muncul ramai pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah dalam pentas politik negara.


Saifuddin ikon politik

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kerana Prof berkawan rapat dengan Datuk Saifuddin menyebabkan Prof berkata demikian?

AGUS: Saya mengenali Datuk Saifuddin dan beliau mengenali saya, tapi kami tidak pernah berbincang soal politik secara bersama.  Saya berkata demikian kerana saya tahu ramai anak muda mengangkat beliau sebagai ikon politik yang negara mahukan, bukan kerana beliau BN atau timbalan menteri, tetapi kerana pendekatan politiknya yang mahu membawa perubahan minda kepada ahli-ahli politik.
Saya setuju dengan beliau dalam soal ini, menerima yang baik itu sebagai baik dan yang buruk itu sebagai buruk.