Aina sekali lagi berjaya mengubah pentas menjadi kanvas magis dengan alunan vokal menusuk kalbu serta visual futuristik yang memukau dalam konsert jelajah album Imaji di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto Bernama
Memulakan persembahan dengan lagu 'Imaji' dan 'Kejam', kelunakan suara Nurul Aina Abdul Ghani, 31, dilihat tidak mengambil masa lama untuk 'merasuk' kira-kira 1,500 penonton yang hadir dalam konsert jelajahnya itu.
Sorakan dan teriakan "I love you Aina” tidak putus-putus kedengaran dari ruang tempat duduk penonton yang menyatakan sokongan kepada penyanyi kesayangan mereka sepanjang dua jam setengah persembahan berlangsung.