NAMA Abd Karim Shaari, 72, mungkin tidak sepopular legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Namun bagi peminat sukan sepak takraw tanah air, pasti ada di antara mereka mengenali insan yang pernah berjasa kepada negara ini.

Pernah mewakili Sukan Asia Tenggara (Seap) pada 1965, Abd Karim atau lebih mesra disapa Pak Karim kini selesa menghabiskan waktu tuanya melayani anak-anak dan cucu di rumahnya di Taman Bukit Tambakau, Jasin, Negeri Sembilan. 

Berkongsi momen sepanjang penglibatannya dalam sukan sepak takraw, Pak Karim berkata, daripada seorang budak yang diamanahkan memasang jaring takraw, beliau tidak pernah sangka akan bergelar pemain kebangsaan.

“Saya sekolah tak tinggi, nak beli kasut sukan waktu itu memang tak mampu. Jadi saya main guna upih pinang sahaja.

“Kebetulan pula, padang tempat pasukan Teruna Jaya bermain sepak takraw betul-betul di hadapan rumah saya, jadi saya diminta untuk memasang jaring setiap kali mereka berlatih,” katanya.

Pak Karim berkata, dek kerana ketua pasukan berkenaan, Jaafar Jantan melihat kesungguhannya bermain menggunakan upih pinang, beliau telah membelikannya sepasang kasut sukan.

“Alhamdulillah, beliaulah yang banyak tolong saya dan akhirnya saya dipilih menyertai regu utama pasukan Teruna Jaya, Seremban.

“Ketika itu memang gembira sangat dan saya bersyukur kerana dipilih menjadi ahli pasukan itu,” katanya.

Bakatnya dalam sukan takraw terus dihargai apabila dipilih menyertai Sukan Seap pada 1965.

“Bila sering terlibat dengan pelbagai pertandingan, kita mula dipandang pihak berkenaan yang mahukan pelapis-pelapis baharu untuk mewakili negara.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka berpeluang menjadi sebahagian daripada pemain kebangsaan.

“Masa tu, saya mewakili daerah untuk pertandingan takraw, selepas itu saya diberikan tawaran menyertai skuad kebangsaan yang mana hanya saya seorang dari Negeri Sembilan, seorang dari Johor, empat dari Pulau Pinang dan empat dari Selangor.

“Ketika itu juga, saya merupakan ahli paling baru diserap menjadi skuad kebangsaan,” katanya.

Lutut cedera, terpaksa tinggalkan takraw

Meskipun minatnya terhadap sukan sepak takraw sangat mendalam, Pak Karim terpaksa menerima hakikat tidak boleh meneruskan perjalanannya apabila kedua-dua lututnya cedera dan perlu dibedah.

“Waktu itu saya dalam pemilihan untuk mewakili daerah bagi sebuah pertandingan. Sebenarnya memang saya dah dapat, tapi ia sebagai memenuhi syarat pertandingan.

“Ketika saya nak libas itulah, terdengar bunyi yang agak kuat di lutut, dan saya tahu sesuatu berlaku kepada lutut saya.

“Kecederaan itu juga merupakan titik akhir penglibatan saya dalam sukan ini,” katanya lututnya membengkak dan perlu dibedah bagi memastikan dia dapat berjalan seperti biasa.

Biarpun sedih, Pak Karim reda dengan apa yang berlaku dan menerimanya dengan baik.

“Memanglah sedih bila dapat tahu lutut saya tidak boleh digunakan lagi untuk bermain takraw. Tapi saya tak patah semangat, lebih-lebih lagi saya ada pengalaman sebagai pemain kebangsaan.

“Malah, saya juga ada kenangan hebat ketika berdepan skuad Selangor diwakili Kassim Bajar. Tiada siapa mampu lawan Kassim ketika itu kerana kehebatannya dalam sukan ini. Dia sangat terkenal kerana libasannya yang dikenali sebagai libas pari.

“Selain itu, saya juga berjaya mendapat kerja sebagai warden penjara kerana sukan ini,” katanya pada zamannya, atlet sentiasa menjadi keutamaan jabatan-jabatan di Malaysia sebagai pekerja mereka.

Atas jasanya terhadap bidang sukan negara, Pak Karim turut dikurniakan anugerah Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pak Karim yang berpengalaman selama 29 tahun dalam sukan takraw, turut aktif sebagai juri pertandingan selepas disahkan tidak boleh bermain lagi.

“Takraw berkaitan rapat dengan negara Thailand, kerana itulah sepak raga ditukarkan kepada sepak takraw yang mana takraw itu merupakan perkataan Thailand.

“Kalau boleh biarlah sukan takraw menemui era kegemilangan seperti sukan bola sepak dan badminton di Malaysia," katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SAINGAN Sepaktakraw League (STL) Premier akan menutup tirainya pada minggu ini sekaligus menjadi minggu penentuan siapakah dua pasukan yang akan mengiringi Penang Black Panthers untuk beraksi di STL Champions Cup bersama juara Divisyen Satu dan empat pasukan antarabangsa iaitu Korea Selatan, India, Thailand dan Indonesia.
  • SAINGAN tiga tempat teratas Sepak Takraw League (STL) 2017 semakin sengit selepas berakhirnya lapan perlawanan liga baru-baru ini.
  • SELAIN bola sepak, acara sepak takraw bakal menjadi antara sukan tumpuan rakyat Malaysia pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan.
  • NAMA Norshahruddin Mad Ghani bukan asing dalam kalangan peminat sepak takraw tanah air.
  • SATU ketika dahulu, permainan tenis tiada dalam Olimpik, kini ia diterima sebagai antara acara yang dipertandingkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.