• Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
1 /

SUNGKAI -  Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin, isu parti membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Behrang dapat diselesaikan dalam semangat setia kawan tanpa menyentuh perasaan rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain.

Beliau berkata, keyakinan itu dinyatakan berikutan wujud tanda positif hasil perbincangan bersama antara Umno dan MIC.

Menurutnya, sebelum ini, isu kerusi Dun Behrang menjadi pertikaian apabila kawasan yang dikatakan mempunyai majoriti kaum Melayu dijadikan kuota untuk MIC.

“Kita yakin isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik, kita minta ahli Umno khususnya di Bahagian Tanjung Malim memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan negeri untuk menyelesaikan isu ini,” katanya pada perasmian

Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Tanjung Malim, di sini.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Perak turut menasihatkan semua gerakan pimpinan Bahagian Tanjung Malim agar bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Tanjung Malim dan Dun Slim.

Gesaan turut diberikan dengan harapan dapat merampas semula kerusi Dun Sungkai dan Dun Behrang yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

“Tidak ada guna kita ada duit dan buat persiapan rapi, tetapi tidak ada perpaduan. Tanpa persepakatan, BN tidak mungkin boleh menang,” tegasnya.

Sebelum ini, Ketua Bahagian Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib mengesa kepimpinan negeri menyelesaikan masalah pilihan parti komponen yang seharusnya bertanding bagi Dun Behrang. Beliau mengakui, jawatankuasa bahagiannya kecewa, apabila pada PRU12, kerusi berkenaan masih kekal pada MIC walaupun ia telah dibincangkan.

Dun Behrang wujud hasil persempadanan semula pada 2004 telah diberikan kepada MIC walaupun majoriti pengundinya Melayu dan pada PRU12 lalu, calon BN daripada MIC gagal mempertahankan kerusi apabila tewas kepada calon PKR, Jamaludin Md Radzi dengan majoriti 1,027 undi.