PETALING JAYA - Wakil bagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli akan menjadi pemerhati proses undi ragu untuk tiga cabang bagi menyelesaikan kemelut perebutan jawatan itu dalam Pemilihan PKR kali ini.

Perkara itu diputuskan selepas mesyuarat Biro Politik PKR seperti dimaklumkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil melalui kenyataan media, sebentar tadi.

Ini bermakna, Biro Politik PKR mengambil pendirian untuk menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bagi Cabang Julau, Pensiangan dan Tawau.

"Biro Politik PKR telah mengarahkan JPP untuk segera menyelesaikan isu undi ragu bagi cabang-Ccabang yang berkaitan, dengan memanggil wakil kedua-dua calon Timbalan Presiden untuk memerhati proses tersebut," katanya.

Dalam masa sama Fahmi berkata, parti akan memberi kerjasama kepada mana-mana agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat siasatan berkaitan pemilihan parti.

"Berkaitan isu ‘undi hilang’ yang dibangkitkan calon Ketua AMK, Akmal Nasir serta rakan-rakan dalam sidang media petang tadi, Biro Politik PKR mengarah syarikat Baker Tilly yang mengesahkan integriti sistem pemilihan untuk menyiasat dan memberikan maklumbalas pada kadar segera," katanya.

Dalam pada itu katanya, PKR juga akan mengumumkan pelantikan sebuah syarikat pengauditan dalam masa terdekat untuk melakukan audit bebas terhadap keseluruhan proses pemilihan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi dakwa JPP gagal, kredibiliti pemilihan tercemar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan pemilihan PKR cabang Julau diterima]

[ARTIKEL BERKAITAN: E-undi PKR digodam, keputusan Cabang Julau digantung]

Rafizi hari ini menjelaskan JPP gagal menjalankan peranannya dalam proses Pemilihan PKR.

Katanya, kegagalan itu menyebabkan anggota parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya.

Bukan mahu mempertikaikan keputusan yang diraih, Rafizi berkata, JPP gagal berlaku adil terhadap dirinya.