BAGAN SERAI - Pas bersedia bergabung dengan Umno bagi mewujudkan kerjasama politik lebih serius pada masa hadapan hanya sekiranya parti itu bersedia untuk insaf dan berubah.

Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, gabungan kerjasama dua parti Melayu terbesar negara ini juga dijangka tidak akan berlaku dalam bentuk gagasan BN, sebaliknya Umno perlu meninggalkan gagasan itu sekali gus membentuk gagasan baharu.

Menurutnya, gagasan BN sudah tidak sesuai lagi dipegang Umno yang kini sudah menjadi parti pembangkang kerana fungsi gagasan itu sebenarnya sudah diambil alih kerajaan PH ketika ini yang lebih dianggap Pas sebagai 'BN 2.0'.

"Kalau hendak gabung, saya tidak bersetuju Pas masuk (gagasan) BN dan hanya setuju (dua parti itu) buat gabungan baharu, sebab saya anggap PH kini sudah menjadi BN 2.0.

"Cuma Umno kini perlu benar-benar insaf kerana bagi saya, Umno seumpama kereta remuk teruk selepas terbabit kemalangan.

"Jadi bila hantar ke bengkel, mekanik akan mengetuk kuat kereta itu terlebih dahulu untuk dibaiki bahagian remuk, sehinggalah seterusnya akan dikilatkan untuk kembali kelihatan seperti kereta baharu. Dalam konteks ini, Pas berfungsi sebagai mekanik dimaksudkan," katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live, hari ini.

Mohd Akmal berkata, hanya apabila Umno benar-benar insaf dan tidak lagi membantah agenda memperkasakan Islam dibawa Pas, pihaknya fikir Pas patut menyambut tangan dihulurkan Umno dalam membentuk kerjasama politik pada masa hadapan.

Cuma pada ketika ini, beliau menegaskan kerjasama politik yang berlaku antara Pas dan Umno masih longgar dan hanya berlaku pada saat menghadapi pilihanraya kecil semata-mata.

"Tidak salah sekiranya Pas dan Umno boleh mewujudkan konsensus kerjasama pembangkang untuk mewujudkan pakatan pembangkang yang kuat.

"Akhirnya rakyat untung kerana pembangkang kuat dapat memastikan semak dan imbang terhadap prestasi semasa kerajaan PH ketika ini sekaligus memastikan kerajaan baharu itu.

"Senario sebegini merupakan perkara biasa berlaku di negara luar, cuma rakyat kita sukar untuk menerima idea tersebut kerana Umno sudah lama jadi kerajaan dan mereka rasakan seolah-olah Umno masih lagi duduk dalam kerusi kerajaan," katanya.