PARIT BUNTAR - Sokongan orang Melayu di seluruh negara terhadap Pakatan Harapan (Harapan) semakin meningkat  selepas pakatan itu menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri baru-baru ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, tarikan utama Pakatan Harapan pada masa ini ialah Mahathir Mohamad kerana beliau lebih popular dalam kalangan pengundi Melayu terutama dari kawasan luar bandar

"Mahathir yang menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun sangat dikenali dan dikagumi orang Melayu.

"Saya lihat ke mana saja Mahathir pergi, terutamanya program ceramah umum dia masih jadi daya penarik nombor satu di Malaysia sekarang,” katanya ketika ditemui semasa melakukan ziarah ke rumah penduduk Kampung Parit Haji Abdul Rahman, di sini hari ini.

Program ziarah itu turut membolehkan Dr Mujahid menyampaikan sumbangan barangan keperluan ini melibatkan beberapa buah rumah di Parit Haji Abdul Rahman, Parit Tok Kip, Parit Teluk Pial dan Batu Enam.

Program ini turut disertai Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Dr Mujahid berkata, Mahathir adalah nama besar dunia dan telah memerintah Malaysia sebagai PM selama 22 tahun.

Menurutnya, inisiatif pendekatan Wawasan 2020, 'Bersih, Cekap, Amanah', Dasar Pandang ke Timur dan seorang ahli politik yang licik menjadikan Mahathir terkenal.

"Rakan pemimpin lain yang bersara diam dengan gelaran mantan PM, Mahathir memilih jalan sukar dan pahit menentang parti yang dia terajui selama 22 tahun.

"Malahan dia bersedia bekerjasama dengan 'musuh lamanya' demi menyelamatkan negara.

"Kesungguhan dan keazaman Tun mahu melihat Malaysia diselamatkan merupakan jaminan keikhlasan Tun kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan kerajaan persekutuan pada PRU14 nanti," katanya.

Dr Mujahid percaya gandingan Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diyakini dapat meyakinkan pengundi Melayu bahawa Harapan ialah gabungan dominasi Melayu.

"Gandingan ini penting kerana selama ini Harapan sering didakwa dengan sentimen perkauman yang bertujuan untuk memecahbelahkan gabungan ini.

"Bilangan kerusi adalah pantulan kepada azam untuk menguasai kerusi-kerusi yang belum dimenangi khususnya majoriti Melayu.

"Bersatu diasaskan antara lain sebagai saingan Umno, sudah tentu kelebihan kerusinya terletak pada rasional tersebut," katanya.