SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil menempelak pemimpin yang selama ini sering menyerang dan memfitnah parti itu dengan pelbagai dakwaan.

Berdasarkan catatan dimuat naik ke laman Facebook beliau, Nik Abduh menyenaraikan beberapa perkara sering dibangkitkan seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Kelantan muflis jika kerajaan Pusat tidak menyalurkan wang.

“Pusat bagi wang kepada Kelantan adalah kerana Kelantan bagi wang dulu kepada Pusat. Masa Mahathir dera Kelantan dulu pun, Kelantan masih hantar wang kepada Pusat. Istiqamah.

“Perdana menteri sedar ke? Kelantan wujud dulu sebelum Malaysia. Sebelum nak suruh Kelantan berterima kasih kepada Pusat, belajarlah berterima kasih dulu kepada Kelantan,” katanya, semalam.

Sementara itu katanya, dakwaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pas mengkafirkan Umno dilihat seolah-olah beliau berada dalam ketakutan.

“Mahathir dikejar hantu Mak Limah. Memandu Harapan laju ke depan dengan mata memandang cermin belakang. Jangan pandang belakang Tun, Pas dah di depan," katanya.

Katanya, tuduhan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak Pakatan Rakyat, kerana DAP tidak mahu beliau menjadi perdana menteri.

“Kit Siang bohongnya pada masyarakat bukan Islam makin kuat.

"Pas cadang Ku Li (Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai perdana menteri pada PRU13 kerana nak tambah gelombang undi Melayu dalam Pakatan Rakyat dan Ku Li juga diterima orang bukan Islam.

"Cadangan ditolak kerana ada orang lain kalut nak jadi perdana menteri takut terlepas. Memang terlepaslah dulu dan kini pun Mahathir juga yang menang akhirnya, tiba-tiba Abdul Hadi juga disalahkan,” dakwanya.

Mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden Amanah, Husam Musa bahawa Abdul Hadi mengikut telunjuk Najib, Nik Mohamad Abduh berkata, beliau adalah orang kepercayaan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang gagal kerana tindakan sendiri.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :