SHAH ALAM - Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan untuk bersara daripada dunia politik.

Beliau turut mengesahkan untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan hanya akan kekal menjadi ahli Umno.

Katanya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan itu bagi memberi laluan kepada orang muda dan muka baharu.

“Saya melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk di peringkat cawangan, bahagian, dan peringkat nasional kerana satu perkara dalam politik ialah kamu perlu tahu bila kamu perlu tinggalkan (politik).

“Saya telah berada dalam politik lama dan saya tahu bila masa untuk saya tinggalkan politik, inilah masanya untuk memberi laluan kepada wanita muda dan muka baharu,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, selama ini beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada ahli Wanita Umno dan ini adalah masanya untuk generasi muda mengambil alih tanggungjawab berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap jawatan Ketua Wanita Umno akan dipikul seorang pemimpin yang mampu menggalas tugas dengan sebaik mungkin.