PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat beberapa penambahbaikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang pada 4 Ogos depan.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, antara penambahbaikan yang dibuat adalah dengan mewujudkan dua saluran bagi pengundi 60 tahun ke atas dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mempunyai jumlah pemilih yang ramai.

“Sebanyak 21 saluran baharu diwujudkan bagi menggelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya adalah 109 saluran berbanding 88 pada PRU14 lalu.

“Selain itu, SPR turut memanjangkan tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat SPR, hari ini.

Di samping itu, Othman memaklumkan bahawa pada PRK kali ini juga, SPR turut menawarkan kepada mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan-badan yang berminat untuk menjalankan pemerhatian ke atas proses pengundian.

“Mereka boleh terlibat dari hari penamaan calon sehingga keputusan PRK diumumkan.

“Pihak berkenaan juga dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pemerhati boleh mengemukakan permohonan kepada SPR sebelum 16 Julai ini,” katanya.

Selain itu, Othman turut memaklumkan bahawa PRK Sungai Kandis kali ini juga dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Beliau berkata, seramai 865 petugas telah dilantik daripada kalangan orang awam untuk pengendalian proses PRK Sungai Kandis manakala 19 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran.

“SPR turut bersetuju untuk melantik Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sebagai Pegawai Pengurus PRK Sungai Kandis dan beliau turut dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus,” katanya.