TANAH MERAH - Sifat kesamarataan yang dibawa DAP merupakan perkara yang diperjuangkan sejak awal penubuhannya pada era 60-an.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perjuangan terbabit tidak selaras dengan pembinaan bangsa dan memberi hak sama rata.

"Kita (BN) pula masih membawa dasar kemasyarakatan berasaskan perlembagaan di mana kaum bumiputera diberi keutamaan namun tidak menganayai sesiapa walau berlainan kaum.

"Manakala perjuangan pihak sebelah sana (pembangkang) adalah kesamarataan yang memberi hak yang sama dan tiada keistimewaan untuk bumiputera,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kampung Manal di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama Mahdzir turut mempersoalkan mengapa Tun Mahathir pula memperjuangkan politik bersama mereka (DAP).

"Kita perlu kembali semula kepada dasar sedia ada iaitu perjuangan Melayu dan bangsa tanpa meminggirkan kaum lain,"katanya.