IPOH - Pemuda Umno Bahagian Ipoh Timor mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menarik semula kenyataan fitnah terhadap negara ini yang dibuat dalam satu rakaman video yang tular beberapa hari lalu.

Ketuanya, Muhammad Najib Abd Rahman berkata, kenyataan itu disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak langsung memberi gambaran sebenar tentang keadaan di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia digambarkan terlalu buruk dan ekstrem sehingga mendakwa kerajaan merobohkan beribu-ribu kuil serta memaksa orang India yang beragama Hindu memeluk Islam untuk diterima bekerja dalam sektor awam.

“Adakah patut seorang menteri yang menjaga perpaduan mengeluarkan kenyataan dan video sebegini. Tak sesuai langsung.

“Kita akan terus buat bantahan ini dan dia (Waytha Moorthy) tak layak jadi menteri memecahbelahkan kaum,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh di sini, hari ini.

Semalam, video berdurasi 2.38 minit yang menunjukkan rakaman temu bual bersama Waytha Moorthy tular di laman sosial dan mengundang kemarahan banyak pihak.

Bagaimanapun Waytha Moorthy mengakui kewujudan rakaman video dan mendakwa ia merupakan video lama yang dirakam 10 tahun yang lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Itu kisah lama, Moorthy']

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Timor, Mohd Firdaus Abdul Rahman berkata, laporan polis dibuat bertujuan meminta siasatan pihak polis terhadap kebenaran tuduhan yang dilemparkan Waytha Moorthy itu.

Kenyataan itu dilihat mampu mengancam keselamatan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Dalam pada itu, orang ramai turut mengadakan petisyen bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan atau dipecat daripada kabinet.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10k 'sign' petisyen desak Moorthy letak jawatan]