KOTA KINABALU -  Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pimpinan yang ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berdisiplin dan tidak mudah lupa diri apabila mempunyai kuasa.

Beliau berkata semua pemimpin dalam PH mesti melakukan perubahan dengan membuang sikap rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita perlu membawa perubahan…jangan sombong, jangan ingat kita ada kuasa, mahu bikin harta. Jangan ingat kita ada kuasa sikit mahu ugut orang dan mahu beli undi . Orang macam itu kalau ada bertanding dalam PKR kita tendang keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew yang juga Pengerusi PKR Sabah.

Anwar berkata kesedaran rakyat adalah kunci utama yang telah membawa perubahan kepada negara ini.

“Kita menang (PH)  kerana sokongan rakyat. Oleh itu sebagai pemimpin kita jangan sesekali lupa derita perjuangan rakyat dan jangan buat kezaliman kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pucuk pimpinan yang telah dipilih sama ada di peringkat negeri atau di peringkat pusat perlu diberikan sokongan padu untuk membangunkan negara.

“Kita mahu kerajaan kuat. Sebab apa kita mahu kerajaan kuat? Kerana negara kita mempunyai banyak masalah…dan untuk selesaikan masalah itu kita perlu berikan sokongan padu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membersihkan apa yang tidak baik berlaku sebelum ini.

“Kita perlu ada  muafakat untuk memastikan kerajaan kita stabil. Saya dan (Dr) Mahathir telah berbincang dan kita pakat untuk bersatu dan bangunkan negara ini. Kita mahu selamatkan negara,” katanya. - Bernama