KULIM – Pemimpin atau sesiapa sahaja ahli dari mana-mana parti politik dialu-alukan menyertai Amanah demi mengukuhkan kedudukan dan kestabilan negara.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, mengikut rekod sehingga Ogos ini, Amanah telah menerima penyertaan 12,000 individu yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Pas.

“Kami sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk ahli Umno atau Pas untuk menyertai Amanah atau mana-mana parti dalam PH ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Sumber Manusia Persatuan Pengusaha Syarikat Perindustrian Kulim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan dua pemimpin Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meletak jawatan dalam parti dan keluar dari Umno.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata pengunduran dua tokoh hebat dalam Umno itu turut memberikan isyarat jelas bahawa Pas perlu menghentikan angan-angan untuk bekerjasama dengan Umno memandangkan rakyat tidak lagi boleh menerima politik berasaskan perkauman sempit.

"Ini kerana politik berasaskan perkauman sempit kini dilihat sudah tidak relevan ketika zaman digital seperti hari ini apabila rakyat sudah lebih berani bersuara bahkan lebih pandai dari pemimpin yang akhirnya menyebabkan politik seperti itu pupus.

"Saya fikir pada akhirnya nanti politik yang  berasaskan kepada perkauman sempit akan pupus. Orang tidak akan menerima lagi,” katanya.

Mahfuz berkata sifat perkauman itu sudah tentu ada memandangkan  semua orang  cintakan bangsa mereka, tetapi politik perkauman sempit hingga menidakkan kaum lain tidak lagi boleh diterima.

Mustapa yang merupakan anggota Anggota Parlimen Jeli dan bekas  Menteri Perdagangan  Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar Umno Selasa lepas dan kurang 24 jam selepas itu Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar mengumumkan langkah sama. - Bernama