BALING - Di sebalik teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), Datuk Seri Najib Tun Razak semalam secara berseloroh berkata beliau sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.

"Semangat nak bubar Parlimen... tengoklah dulu," kata beliau di akhir ucapannya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian Umno Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling di sini, semalam.

Sebelum ini ramai meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan Jun atau awal Julai lalu sebelum bermulanya bulan Ramadan.

Bagaimanapun spekulasi terbaru selepas 1 Syawal menunjukkan ramai meramalkan PRU13 akan diadakan November ini selepas pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini.

Pun begitu ada yang menjangkakan ia hanya akan dipanggil selepas Februari depan.

Najib selaku Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk membubarkan Parlimen dengan memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini, Najib akan menghadiri Perhimpunan Merdeka 55: Janji Ditepati, selepas sambutan perbarisan Hari Kemerdekaan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Di Stadium Nasional juga, pada 11 Mei lalu, Najib menyampaikan ucapan dengan berseloroh bahawa "rasa-rasa esok saya hendak menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk mendapatkan perkenan)... adakah kita sudah bersedia, sudah bersedia, sudah bersedia?"

Dalam ucapannya, Najib yang Pengerusi mengulangi peringatannya bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang adalah penentu survival Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dipetik Bernama, Najib yang juga Presiden Umno turut mengingatkan anggota parti supaya belajar daripada pengalaman pilihan raya umum 2008 agar tidak melakukan perbuatan yang menyebabkan BN tewas di beberapa negeri.

"Saya tidak mahu lagi politik adu domba sesama kita, tidak mahu lagi politik puak sesama puak... tidak mahu lagi dalam kempen orang merajuk dan mengkhianati.

"Jika semua ahli sokong calon yang dipilih, mustahil kita boleh kalah pilihan raya," katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagai anggota sebuah parti yang cukup matang dan dewasa, segala masalah yang melanda seharusnya diselesaikan.

"Dah empat tahun. Jangan lagi ada masalah. Jangan tunjuk jari... sudah sudahlah. Rapatkan barisan.      

"Jika sayang parti, kita hendaklah reda. Dipilih Alhamdulillah, tak dipilih pun kita ucap Alhamdulillah. Jika itulah sikap kita bermakna kita telah dewasa dan matang," kata Najib yang juga Presiden Umno.

Najib berkata, apabila beliau menyatakan parti hendakkan 'winnable candidate' (calon boleh menang) semua akan kata mereka adalah 'winnable candidate' tetapi sebenarnya separuh sahaja yang boleh menang.

Walaupun dalam politik ada pasang-surut, Umno masih lagi parti yang relevan dan akan hidup untuk satu jangka masa panjang.

"Belajarlah daripada kejayaan tapi guru paling berkesan adalah kegagalan.

Kita pula mudah berjanji sebaliknya sukar melaksanakannya. Kita patut sayang parti tanpa meletak syarat.

"Saya dah lama.... bila salam dah boleh baca. Bila genggam lagi boleh baca. Semua calon PRU kita kena lulus ujian," katanya sambil memberitahu bahawa banyak petunjuk yang menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN telah kembali.

Beliau berkata, pelbagai program dan dasar kerajaan untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihargai rakyat.

"Kami sedar tuntutan rakyat, tidak seperti pembangkang yang menimbulkan isu hukum hudud menjelang pilihan raya. Kami bina ribuan masjid. Pas pula bina dua masjid sahaja selama 22 tahun perintah Kelantan.

"Umno akan terus perjuangkan Islam dan peradabannya dipertingkat. Insya-Allah  kami letakkan orang yang betul, layak dan amanah. Ulama dan umarak tidak disisih supaya kemajuan Islam terus berkembang," katanya.

Mengenai Kedah, Najib berkata selatan Kedah adalah teras bagi BN memenangi semula negeri ini.

Perdana Menteri dan isteri turut menghadiri jamuan Hari Raya bersama penduduk Baling sebelum berlepas ke Alor Setar untuk majlis Hari Raya bersama perdana menteri di perkarangan Stadium Darul Aman.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.