GOMBAK - Penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa isu pusat undi lewat dibuka disebabkan masalah sistem e-voting memberi gambaran tidak baik kepada proses pemilihan parti itu.

Justeru, menteri hal ehwal ekonomi itu meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menambah baik sistem tersebut.

"Saya harap isu pusat undi lewat dibuka disebabkan masalah sistem tak berulang kerana ia beri gambaran tidak baik dalam parti," katanya ketika hadir meninjau proses Pemilihan PKR Cabang Gombak, pagi tadi.

Azmin tiba di pusat undi di Kompleks Sri Siantan, Batu Caves kira-kira jam 9.40 pagi.

Pusat undi yang sepatutnya bermula jam 10 pagi beroperasi lewat kira-kira 15 minit disebabkan masalah teknikal.