•  Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 /

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa pihaknya memang sudah menjangkakan skim pembelian telefon pintar, yang menawarkan rebat RM200, akan hambar dan kurang mendapat sambutan, sebaliknya sedang mengkaji untuk memasukkkan insentif memansuhkan cukai enam peratus bagi perkhidmatan prabayar dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak terkejut, malah sudah menduga skim yang dilancarkan minggu lepas itu tidak membantu golongan muda susulan mereka dibebankan pakej data yang jauh lebih tinggi berbanding rebat tersebut.

Laporan media menyebut skim itu telah menerima pendaftaran  daripada 121,000 pemohon setakat kelmarin.

"Kita tidak terkejut langsung (sambutan hambar), masalah utama rebat telefon pintar ini bukan soal telefon itu sendiri, tetapi bayaran prabayar yang lebih mahal.

"Orang muda dikenakan komitmen plan baru, mereka kena bayar pada masa depan lebih mahal," katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut skim tersebut, langkah kerajaan memperkenalkan insentif itu untuk memberi akses 3G di kalangan belia tidak menepati sasaran dan keperluan rakyat.

Sebaliknya pendekatan yang cuba dibawa PR dalam hal ini ialah dengan cuba memansuhkan cukai enam peratus ke atas perkhidmatan prabayar sedia ada, sekali gus menggalakkan golongan muda melanggan internet mudah alih tanpa membebankan mereka.

"Kalau kadarnya boleh diturunkan, baru ada kesan yang mendadak kepada orang muda malah membantu mereka.

"Ramai dah ada telefon pintar ini, cuma perkhidmatan itu saja tiada, begitu juga semua skim yang dibuat seperti BR1M sebelum ini, ia tidak begitu mendapat sambutan sebab asasnya ia tidak menyelesaikan masalah rakyat, ia hanya gimik semata-mata," katanya.

Rafizi turut menyifatkan kerajaan tidak memahami keperluan orang muda sebelum skim itu dilaksanakan.

Tambahnya, rebat yang diberikan tidak memadai dan belia terpaksa menanggung kos telefon pintar yang tinggi jika mahu menikmati perkhidmatan 3G dan internet yang laju.

"Kerajaan bagi rebat RM200, orang kena tambah lagi RM500 hingga RM800 kalau nak dapatkan telefon yang lebih baik," katanya sambil menyifatkan skim ini seolah-olah cuba memberi keuntungan sepenuhnya kepada peniaga telefon bimbit manakala orang muda pula dibebankan dengan bayaran caj bulanan perkhidmatan itu.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa manifesto PR sedang mengkaji untuk memansuhkan cukai perkhidmatan prabayar itu jika mengambil alih pentadbiran Putrajaya kelak.

"Kita yakin kita boleh buat tapi ia akan dibincangkan secara lebih mendalam di peringkat pimpinan majlis. Langkah itu lebih baik kepada rakyat khususnya orang muda daripada bagi sekali gus rebat RM200," katanya.