SABAK BERNAM - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia 'menawarkan diri' berkempen bagi pihak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kerusi Parlimen Port Dickson.

Jamal berkata, beliau sendiri akan memberikan sokongan terhadap Anwar dalam usaha mengangkat bekas timbalan perdana menteri itu sebagai perdana menteri kelapan.

Menurutnya, beliau menyokong Anwar menjadi perdana menteri adalah disebabkan kerana tidak yakin dengan kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.

"Kesempatan dan peluang yang diberikan rakyat kepada kerajaan Harapan dilihat gagal untuk membawa negara ke arah yang lebih baharu dan cemerlang di masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian.

Jamal memberitahu, PRK sepatutnya diadakan lebih awal sejurus Anwar dibebaskan agar pemimpin itu diangkat lebih cepat menjadi perdana menteri.

Katanya, beliau mengalu-alukan kekosongan kerusi Parlimen itu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK.

"Jangan bimbang jika Anwar kalah di sana (Port Dickson), kalau kalah pun, mungkin disabotaj kumpulan (Mohamed) Azmin (Ali) dan Mahathir yang bimbang Anwar jadi perdana menteri.

"Jika Anwar kalah sekali pun di Port Dickson, boleh bubar lagi Parlimen lain di bawah PKR, sampailah Anwar berjaya menjadi ahli Parlimen," katanya.

Katanya, secara peribadi, beliau berpandangan supaya Umno tidak meletakkan calon bagi kerusi berkenaan.

"Beri saja laluan mudah kepada Anwar di kerusi itu," katanya.

Pengosongan kerusi itu diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, semalam.