KUALA LUMPUR - Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menzahirkan rasa kecewa rentetan gelaran 'Raja Katak' yang dipegang beliau selama ini terlepas ke tangan orang lain.

Katanya, gelaran itu kini dirampas oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib setelah kembali kepada pangkuan Umno Ahad lalu.

"Rumusannya saya agak kecewalah kerana gelaran Raja Katak atau pun diibaratkan saya ini sebagai pemegang pingat emas sudah dirampas oleh orang lain.

"Sekarang pemegang pingat emas adalah Tan Sri Mat Taib, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Zaid Ibrahim dan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, saya sudah jatuh pemegang pingat perak," katanya ketika sesi soal jawab bersama media di ibu Pejabat Perkasa di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya sementara itu pemegang pingat gangsa pula dalam ' 'acara' ini adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu.

"Mat Sabu dan kumpulannya yang menubuhkan parti baharu dianggap pemegang pingat gangsa," katanya.

Perjalanan politik Ibrahim penuh warna-warni apabila pernah bersama Umno, menyertai serpihannya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, malah menang menggunakan tiket Pas tetapi kemudian menjadi wakil bebas.

Oleh sebab itu, beliau digelar ‘katak’ oleh musuh-musuh politiknya.

Sementara itu, secara peribadi ketika menyimpulkan keputusan Mat Taib kembali menyertai Umno, Ibrahim menegaskan bahawa itu hak beliau untuk berbuat demikian.

"Saya nak nyatakan itu hak Tan Sri lah dia nak kembali kepada Umno ini kebebasan individu," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mat Taib kembali sertai Umno]

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib sebelum ini pernah menyertai Pas dan PKR sebelum bertindak kembali ke 'pangkuan' Umno.

Mat Taib merupakan bekas Menteri Besar Selangor ke-11 dan menggalas jawatan itu selama hampir 12 tahun sejak 1986.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2008.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Perkasa menempelak Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana kenyataannya bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada hak menyenaraikan larangan kepada Jabatan Imigresen Malaysia kecuali hal-hal yang berkaitan dengan hal-ehwal orang Islam.
  • KOTA BHARU - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yakin undi ahlinya boleh menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana calon yang bertanding dalam PRU14 di Kelantan.
  • KUALA LUMPUR - - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Ibrahim Ali sebagai presiden pertubuhan itu.