IPOH - [VIDEO] Semua ahli dan pimpinan Umno digesa supaya menghentikan segala persengketaan sesama mereka demi memastikan Umno terus kuat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan bersengketa boleh memusnahkan parti seperti mana yang berlaku terhadap kejatuhan tamadun-tamadun agung dunia.

Katanya, langkah terbaik ada saling bermaaf-maafan dan saling membantu antara satu sama lain kerana parti akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu PRU14.

"Kita tidak boleh benarkan Umno dalam keadaan berantakan, perpecahan kerana hari ini kita sedang berhadapan dengan pelbagai masalah. Apakah ini kali pertama Umno menghadapi masalah? Bukan pertama kali.

"Jangan biarkan sesiapa daripada luar mahupun dalam mengganggu dan memecahbelahkan kita. Hentikan sengketa, inilah punca kejatuhan tamadun-tamadun besar. Mungkin ada masalah dalam kalangan kita kerana sebagai manusia memang akan diuji dengan masalah," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Veteran Sehati Sejiwa Peringkat Negeri Perak di Dewan Serbaguna Taman Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program tersebut, Pemangku Pengerusi Veteran Umno Malaysia, Datuk Nordin Ya'ani; Pengerusi Veteran Umno Perak, Datuk Abdul Khalid Nasir; Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan beberapa pimpinan Umno yang lain.

Zambry berkata, parti berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah tentangan dari bekas pemimpin Umno yang menubuhkan parti baharu.

"Cabaran yang cukup menyedihkan kita ada pelbagai parti yang berpecah daripada kita, bekas pemimpin kita. Ini mencabar kita. Saya percaya kita tak boleh kata kita tak kenal sesiapa sebab mereka sebahagian daripada kita dulu. Tapi itulah cabaran yang perlu kita hadapi," katanya.

Dalam pada itu, Zambry menghargai sokongan ditunjukkan oleh golongan veteran kepada parti yang terus menyokong kepimpinan negeri dan membantu melancarkan pantadbiran negeri.

"Mereka walaupun sudah menjadi veteran tetapi perjuangan mereka terus mantap terhadap perjuangan Umno dan saya ucapkan terima kasih. Biarpun berhadapan cabaran, apa yang ditunjukkan mereka pada hari ini memberikan semangat bahawa perpaduan di kalangan pemimpin dan juga rakyat termasuk di kalangan mereka yang telah berusia masih mantap bersama-sama Umno dan BN," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :