IPOH - Harapan Perak melahirkan rasa kagum dengan keyakinan yang ditunjukkan BN Perak kononnya mampu memenangi 40 kerusi Dun pada PRU14.

Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan sentimen rakyat sedia ada, BN dilihat tidak mampu memenangi kerusi Dun sebanyak itu sebaliknya Harapan yang akan mendominasi pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, keyakinan yang ditunjukkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Saarani Mohamad itu mencurigakan kerana berdasarkan situasi semasa, rakyat memang menolak BN.

“Kita lihat ada sesuatu di sebalik keyakinan itu. Mana datangnya kekuatan sehingga 40 kerusi Dun ketika orang ramai menolak BN. Apakah ada rancangan tertentu untuk pastikan BN menang? Mungkinkah persempadanan semula nanti jadi talian hayat kepada BN?

“Perkara-perkara ini menjadi persoalan kita kerana berdasarkan siri ceramah yang kita buat, lautan manusia yang hadir. Itu cukup membuktikan rakyat Perak mahukan perubahan dan menolak BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Saarani yang disiar sebuah portal berita memberitahu BN akan memenangi 40 kerusi pada PRU14 nanti dengan tambahan sembilan kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU13 lalu.

Ahmad Faizal berkata, Harapan Perak tidak gentar dengan amaran BN itu sebaliknya persiapan rapi sudah dibuat dalam memastikan kemenangan tersebut.

Katanya, BN Perak sebenarnya dalam ketakutan kerana melihat gelombang rakyat yang mahukan perubahan.

“Mereka boleh nampak apa yang berlaku di Taiping baru-baru ini dengan kehadiran ribuan rakyat memberi sokongan kepada pimpinan Pakatan Harapan khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itu ketakutan sebenar mereka. Kalau betul mereka boleh menang, kenapa hanya 40 kerusi, tidak 59 kerusi Dun yang ada di Perak ini?,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu