KLANG - Pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri diakui memang mengejutkan sebahagian kecil penyokong dalam PKR Selangor.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, namun begitu ia hanyalah luahan suara daripada sebahagian kecil dalam proses demokrasi.

“Dalam kalangan pimpinan tempatan mungkin mereka bersuara kerana tiadanya penerangan dan maklumat awal berhubung cadangan itu.

“Pastinya mereka terkejut kerana setelah hampir 20 tahun memusuhi Tun Mahathir, secara tiba tiba bekas Perdana Menteri itu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan terdapat segelintir pihak dalam PKR Selangor didakwa tidak bersetuju dengan pencalonan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika Harapan menang.

Pada masa sama, menurutnya, apa yang disuarakan baru-baru ini juga adalah sesuatu yang telah dijangkakan.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa dan komen itu datang daripada pandangan sekelompok anak muda dalam parti, Timbalan Pengerusi PKR Selangor yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin juga telah mengemukakan pandangan daripada sayap wanita dua hari sebelum Konvensyen itu.

“Sebaiknya ada proses cadangan  yang sampai ke pengetahuan semua Majlis Pimpinan Negeri serta Cabang, setelah dibincangkan di kalangan mereka kemudian barulah ia diangkat semula ke peringkat Pusat,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Sri Muda itu berkata, pelantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan isu yang besar dalam PKR Selangor.

“Kami akan bergerak terus ke hadapan dan fokus dalam membantu usaha Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membangunkan Selangor sepertimana yang kami lakukan sebelum ini.

“Kami juga berharap kepimpinan utama parti di Pusat ‘merenung’ semula keputusan yang telah dibuat bagi mencari titik pertemuan yang harmoni kerana masih ada ruang bagi semua pihak untuk bermuhasabah diri,” katanya.

Katanya lagi, buat masa sekarang perkara yang paling penting harus ditumpukan adalah bergerak terus ke hadapan dengan semua tokoh dan pemimpin dalam Harapan.

“Semua ada peranan masing-masing dalam menumbangkan Umno/ BN, jadi saya minta semua pihak fokus sahaja ke arah itu,” katanya.