JELEBU - PKR Cabang Jelebu mendesak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengira semula 315 undi yang belum dapat dikira pada pemilihan yang diadakan Sabtu lalu.

Ketua Cabangnya Mohamed Zabidi Abdullah berkat, alasan JPP, 315 undi belum dikira itu atas faktor rangkaian internet yang bermasalah.

"Kami akur dengan keputusan sedia ada tetapi demi keadilan semua , JPP digesa membuat kiraan yang berbaki 315 undi lagi agar keputusan penuh dapat dibuat.

"Kalau kiraan undi ini dibuat,  pendapat saya pemilihan semula tidak perlu dibuat.

"Saya akur semua keputusan yang di buat oleh JPP. Cuma kami mohon kira lah undi 315 ini kerana ahli seluruh Jelebu sudah hadir mengundi.

"Susah payah mereka hadir akhirnya undi tidak dikira," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Mohamed Zabidi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu petang tadi, bagi mendesak JPP mengira semula 315 undi yang belum dikira pada pemilihan yang diadakan Sabtu lalu.

Dalam pemilihan PKR negeri ini menunjukkan undi Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden mendahului undi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Daripada lapan cabang, sebanyak lima cabang memilih Rafizi sebagai Timbalan Presiden iaitu Cabang Rembau,  Rasah, Tampin, Seremban dan Jelebu.

Manakala tiga cabang lagi memilih  Azmin Ali iaitu cabang Teluk Kemang, Kuala Pilah dan Jempol.