IPOH - Kerjasama antara Umno dan Pas merupakan hasrat rakyat serta permintaan akar umbi Umno sendiri.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Zuraimi Razali berkata, ramai yang mahu melihat kedua-dua parti ini bersatu demi masa depan Islam.

Katanya, rakyat sedang melihat dan mengikuti perkembangan kerjasama itu untuk memastikan mereka masih mempunyai pilihan pada PRU14 nanti.

"Saya secara peribadi dari dulu lagi menyarankan supaya penyatuan ini wujud dan rakyat akan sejahtera.

"Bagaimanapun ia bergantung pada perbincangan kedua-dua pemimpin parti," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin bahawa Pas sedia bekerjasama dengan Umno di bawah gagasan politik baharu dan bukan menyertai BN.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Umno umpama kereta rosak teruk']

Mohamad Zuraimi berkata, sekiranya dua parti ini bergabung, bukan sahaja mampu menjadi kumpulan pembangkang yang kuat tetapi boleh membentuk kerajaan pada masa akan datang.