SEREMBAN - DAP belum menerima permohonan maaf daripada seorang pemimpin DAP dari Melaka yang menerima anugerah gelaran Datuk baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti belum menerima sebarang permohonan maaf secara peribadi daripada individu tersebut dan berharap agar beliau dapat melakukannya.

Katanya, dua pemimpin iaitu Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong dan Adun Bemban, Dr Wong Fort Pin, sudah meminta maaf secara secara peribadi kepada parti, tetapi hanya seorang sahaja yang belum berbuat demikian.

“Di Sabah sudah selesai, mereka sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka dan secara peribadi kepada parti, di Melaka hanya seorang sahaja yang mohon maaf kepada parti, cuma tinggal seorang sahaja lagi yang keras kepala.

“Saya tidak mahu sebutlah siapa orangnya, tapi saya rasa semua orang tahu dan dia sendiri tahu siapa yang saya maksudkan.

“Saya bukan minta pulangkan, Cuma mereka ini perlu membuat permohonan maaf secara terbuka dan kepada parti secara peribadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan bagi penggal ke -18, di Klana Resort tadi.

Hadir sama, Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi Bersatu negeri, Tan Sri Rais Yatim, Pengerusi Amanah negeri, Zaulkefly Mohd Omar dan Timbalan Pengerusi PKR negeri, M Ravi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pendirian DAP masih lagi berada di tahap yang sama, dan akan terus kekal untuk tidak menerima mana-mana penganugerahan pingat.