SEREMBAN  - PKR Negeri Sembilan yakin akan tetap berlaku pertembungan dengan parti daripada blok pembangkang pada PRK Parlimen Port Dickson, meskipun masih belum ada kata putus mengenainya.

Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, sama ada BN atau Pas, salah satu daripada parti itu akan menghantar calon mereka dan tidak akan membiarkan pilihan raya itu begitu sahaja.

“Saya yakin jika BN tak hantar calon, Pas yang akan hantar atau secara dasarnya pertandingan dengan blok pembangkang akan tetap berlaku.

‘Lagipun, ia berdasarkan ucapan daripada pemimpin utama kedua-dua parti itu yang memperlihatkan kerjasama di antara mereka bagi menghadapi PRK berkenaan,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis sambutan Hari Farmasi Sedunia dan Kempen Kenali Ubat Anda peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Ditanya berkenaan pertembungan lebih daripada dua penjuru yang mungkin berlaku, beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa pun dialu-dialukan untuk bertanding.

Beliau yang juga menteri besar berkata, pihaknya juga akan memastikan perjalanan pilihan raya yang akan diadakan berlangsung dalam keadaan bersih.

“Lagipun Datuk Seri Anwar pun sudah beri kenyataan tidak akan menggunakan aset dan jentera kerajaan sepanjang tempoh berkempen, pastinya pilihan raya secara adil dapat dilaksanakan.

“Kita telah pun telah bersiap sedia dan semalam(kelmarin) saya telah pun memberikan tugas kepada semua ahli parti untuk mengenal pasti bilik gerakan dan akan turun sebagai satu pasukan dengan parti lain dalam gabungan PH,” katanya.

Selain itu katanya, Umno ketika ini berhadapan masalah dalaman parti apabila beberapa pemimpinnya bertindak keluar parti.

Bagaimanapun Aminuddin berpendapat, bukan itu yang diharapkan PH kerana mereka mahu Umno berperanan sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat.

“Selama ini Umno berada dalam kedudukan yang selesa dan tiba-tiba mereka jadi pembangkang dan sudah tentu ia bukan mudah untuk sesetengah daripada mereka.

“Tapi saya pun tak harapkan mereka keluar dari Umno dan bertukar parti. Kita nak ada parti pembangkang yang kuat dan berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negara. Sama ada mereka mampu bertahan atau tak, itu terpulang kepada pembangkang,” katanya.