KUALA LUMPUR - Bosan dengan tohmahan pembangkang kononnya Biro Tata Negara (BTN) menganjurkan kursus berunsurkan perkauman, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim semalam mencabar Ahli Parlimen Pas dan DAP menghadiri kursus berkenaan.

Menurut Razali, sehingga kini, kursus BTN sudah dihadiri lebih sejuta peserta dan agak mustahil untuk menyembunyikan tuduhan itu jika benar ianya wujud dalam kursus anjuran kerajaan itu.

“Kita buat kursus yang melibatkan hampir satu juta orang pada 2013...boleh sembunyikan rahsiakah hendak latih setuja orang ini?

“Zaman sekarang mana boleh sembunyi (kandungan kursus), program tengah jalan orang sudah boleh tweet,” katanya menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa Bajet 2015 Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, malam semalam.

Terdahulu, berlaku pertikaman lidah apabila Ahli Parlimen Sepang-Pas, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Beruas-DAP, Ngeh Koo Ham mencelah penggulungan Razali dengan mendakwa mereka menerima aduan mengatakan kursus BTN menyerapkan sentimen perkauman.

Razali kemudian mencabar mereka mengemukakan bukti tetapi Ngeh pula meminta timbalan menteri itu memberikan silibus kursus anjuran BTN.

Bagaimanapun timbalan menteri itu menempelak ahli-ahli parlimen pembangkang yang kerap memutar belit penjelasan kerajaan dengan menyatakan sebaliknya di luar Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Razali menegaskan seseorang itu akan bersikap perkauman tanpa perlu menghadiri kursus BTN.

Beliau memberi contoh seperti mana yang dilakukan Ahli Parlimen Seputeh-DAP, Teresa Kok sebelum ini yang dengan sengaja menerbitkan video satira Tahun Baharu Cina.

“Seputeh tidak perlu pergi ke BTN tetapi boleh buat video perkauman,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dicabar bertanding di Selangor pada PRU14 nanti, jika ingin melihat sama ada beliau diterima pengundi di negeri ini ataupun sebaliknya.
  • MUAR - Tindakan pembangkang memburuk-burukkan Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas adalah disebabkan mereka mencemburui ikatan ukhwah yang kekal kukuh, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim.
  • KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng dicabar supaya tidak hadir pada prosiding Parlimen sewaktu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempengerusikan mesyuarat.
  • KUALA LUMPUR - Percaturan DAP meletakkan calon muda dalam pilihan raya hanya gimik politik bagi tujuan meraih undi golongan muda.
  • MUAR - Seluruh ahli Umno perlu menumpukan usaha memulihkan kembali keyakinan terhadap parti dan menghentikan segala provokasi yang boleh merosakkan dan memberikan kesan negatif kepada parti, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.