COX’S BAZAR - Mereka lari sehelai sepinggang, tak sempat ambil apa pun. Suasana kacau bilau. Ketika itu ribuan wanita, anak gadis, mangsa rogol dan kanak-kanak perempuan hanya mahu menyelamatkan diri daripada menjadi korban nafsu junta tentera atau Arakan Army.

Jika ditunggu lebih lama pasti mereka rentung dibakar sami Buddha. Begitulah senario di Rakhine pada Ogos tahun lalu dan kini, masih ramai lagi menjadi mangsa korban pembersihan etnik di bumi malang itu.

Kini lebih 700,000 pelarian berlindung di kem pelarian Balukhali selepas mengharungi lebih 20 hari perjalanan. Ada yang mendayung sampan, ada yang berjalan kaki merentasi bukit dan hutan selama berhari-hari. Segalanya demi menyelamatkan diri dari kekejaman.

Itu keperitan mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka memakai baju yang sama berhari-hari, tudung tidak berganti dan jangan terkejut ramai wanita di kem itu yang tidak berseluar dalam.

Tersentuh dengan keadaan itu, NGO Yayasan Amal Malaysia dan Haluan mengambil inisiatif menghasilkan telekung yang selama ini amat diperlukan.

Sukarelawan berkongsi kepakaran menyiapkan telekung sebelum dijual.

Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Ir Jamuliddin Elyas berkata, sedar dengan keperluan itu, pihaknya melalui program SINAR4ROHINGYA membuka kelas jahitan sebagai bantuan awal bagi menjahit telekung.

“Kami latih wanita di sini untuk guna mesin jahit. Mereka boleh buat telekung sendiri sebelum menghasilkan lebih banyak sebagai jualan sekali gus dapat membantu  menjana ekonomi sendiri.

“Buat permulaan ini kami gunakan dana SINAR4ROHINGYA untuk membeli empat mesin dan 200 helai telekung dapat dihasilkan. Selepas ini kami akan tambah lagi enam,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan wanita di sini mahir menggunakan mesin dan bagi menjayakan program ini, tiga sesi kelas akan dilaksanakan.

“Sepuluh mesin ini dapat beri peluang pekerjaan dan rezeki kepada 30 keluarga. Itu sasaran kita dan sehingga kini, mereka dapat ikut plan yang kita buat,” katanya.

Buat rakyat Malaysia, teruskan menyumbang di Tabung SINAR4ROHINYA menerusi akaun Maybank (503033634355) Sinar Karangkraf Sdn Bhd.