IPOH – Mufti Perak melahirkan kebimbangan tentang trend pendakwah dan penceramah pada masa kini yang dilihat lebih mempunyai perwatakan sebagai penglipur lara, selain ada di antara mereka menjatuhkan hukum tidak memenuhi syarak.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, trend tersebut mampu mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan umat Islam dan terdapat pendengar seakan-akan menanti ‘bahan penglipur lara’ itu yang dibimbangkan tersasar daripada matlamat dakwah untuk meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH.

“Kita lihat hari ini seolah-olah sudah menjadi satu keperluan kepada pendakwah apabila berdakwah atau berceramah, nyanyian dan alunan lagu-lagu semestinya dikumandangkan.

"Malah adakala sampai satu tahap ia menjadi keutamaan ketika berceramah, sehingga terdapat penceramah digelar dengan gelaran tertentu seperti Bollywood dan seumpamanya.

“Ada juga di antara mereka yang menyelitkan unsur humor atau lawak berlebihan sehingga penceramah itu dikenali dengan lawaknya berbanding ilmu disampaikan hinggakan pendengar menunggu lawak penceramah itu daripada menekuni ilmu disampaikan," katanya ketika sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, terdapat juga pendakwah dan penceramah yang tidak hormat kepada fatwa dikeluarkan oleh institusi fatwa negeri dan menyanggah fatwa yang mungkin boleh memberikan kesan kepada pengambilan beliau sebagai seorang lebih berilmu daripada ulama, pendakwah sedia ada.

Harussani berkata, kegopohan dan kegelojohan ketika berdakwah menyebabkan seseorang pendakwah itu tidak cermat mentafsirkan al-Quran, cuai dalam meriwayatkan hadis hingga mencampuradukkan antara riwayat sahih dan tidak sahih selain membawa cerita tidak masuk akal.

“Terdapat kecenderungan pendakwah memberi pernyataan dan ‘fatwa’ songsang berbanding menyampaikan ilmu berdasarkan disiplin digariskan syarak, malah pandangan hukum dikeluarkan adakala tidak melihat kepada urut dan masalah umum.

“Selain itu, ada juga penyataan dikeluarkan tidak berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan agama yang tunas, malah ada juga dilihat cuba meraih populariti berbanding menyampaikan ilmu, adab-adab dan pengamalannya,” katanya.

Beliau turut menegur pendakwah tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih pendapatan hasil daripada tugasan mulia berkenaan dan tanpa segan silu meletakkan harga tertentu untuk memenuhi jemputan ceramah.

“Mereka beralasan dengan alasan tertentu melayakkan untuk menerima bayaran tinggi, malah ada juga menyebut mereka mempunyai tanggungan yang banyak, institusi di bawah jagaannya memerlukan kos tinggi dan sebagainya yang mewajarkan bayaran itu dipenuhi.

“Selain itu, adalah sesuatu yang amat menyedihkan mereka sekadar memenuhi agenda dan program dirangka dan terpengaruh dengan tuntutan keduniaan dan kepentingan diri yang menyebabkan tujuan murni Islam diabaikan,” katanya.

Harussani turut menegaskan bahawa pendakwah dan penceramah yang ingin menyampaikan ilmu agama di Perak perlu meminta kebenaran Jabatan Mufti Perak kerana ia diwartakan dalam warta kerajaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

“Setiap orang yang ingin mengajar agama di Perak mesti ada tauliah dikeluarkan Jabatan Mufti dan ditandatangani oleh Sultan Perak kerana agama Islam adalah di bawah kawalan sultan, maka tidak seorang pun dibenarkan memberi ceramah, syarahan atau mengajar di Perak sekiranya tidak bertauliah.

“Bagi orang luar dari negeri Perak yang mahu menyampaikan ilmu agama di Perak juga mesti ada kebenaran daripada Jabatan Mufti.

“Kita akan lihat kemampuan orang itu atau tauliah diperoleh, barulah kita akan membenarkannya,” katanya.

Menurutnya, enakmen berkenaan berkuat kuasa pada 28 Mac 2013.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan membidas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam bahawa negara ini tidak memerlukan pendakwah dan ulama Islam, Dr Zakir Naik.
  • KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang ingin membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
  • IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria tidak dapat menahan sebak dan air mata apabila berkongsi dengan hadirin di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini mengenai kisah beliau bersama Sultan Perak sebelum ini, Almarhum Sultan Azlan Shah.
  • SHAH ALAM - Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkenaan saranan Azlina terhadap Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit dan mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.
  • GEORGETOWN - Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) akan menganjurkan Majlis Ramah Mesra dan Penganugerahan IPSI bagi menghargai khidmat bakti pendakwah dan ahli jawatankuasa pertubuhan itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.