BAGAN DATUK - Pembukaan mahkamah khas untuk mengendalikan isu pemerdagangan manusia pada bulan Jun menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menanggani isu berkenaan dengan lebih pantas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal pemerdagangan manusia bukanlah satu isu yang boleh dilengahkan dan ia amat penting diselesaikan bagi menterjemahkan keperimanusiaan Malaysia dalam kes ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif kerana bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan mahkamah khas ini.

"Mahkamah khas ini penting dalam menterjemahkan keperimanusiaan kita bagi membicarakan kes pemerdagangan manusia sama ada dilakukan oleh individu atau ejen tempatan serta luar negara," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di Dewan Dato' Mohamed Jamrah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, apabila kes pemerdagangan manusia dibicarakan di mahkamah sivil seperti sebelum ini ia melibatkan pelbagai mahkamah serta hakim daripada berbagai latar belakang.

"Kerana itu KDN mencadangkan agar satu mahkamah khas dapat diwujudkan supaya kita mempunyai seorang hakim yang didedikasikan mengendalikan soal pemerdagangan manusia.

"Hakim berkenaan juga mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan bagi mempercepatkan proses perbicaraan isu pemerdagangan manusia berbanding sebelum ini di mahkamah sivil yang masih banyak tertunggak," katanya.

Tambahnya, kewujudan mahkaham khas ini juga akan membantu mempercepatkan proses pendakwaan dan perbicaraan apabila mempunyai mahkamah khas sendiri.

"Dengan itu kita berada di tahap antarabangsa kerana memberi perhatian serius mengenai isu pemerdagangan ini dan dengan izin ALLAH, mahkamah akan dibuka Jun di kawasan Lembah Klang.

"Mahkamah tersebut akan menjadi perintis kepada penubuhan mahkamah khas mengendalikan isu pemerdagangan manusia di negeri-negeri lain selepas ini," katanya.