• Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
1 /

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  akan memperluaskan lokasi pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara selepas pelaksanaannya  fasa pertama yang melibatkan 14 lokasi daripada 831 kawasan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, bagi 14 lokasi itu, pihaknya ingin melihat keberkesanan pemasangan sistem itu dan mempertingkatkannya dan kemudian barulah lokasi fasa kedua di negeri lain akan djalankan.

"Kita akan memperluaskan penguatkuasaan termasuk di Kelantan, apa yang perlu saya katakan, sistem ini adalah untuk mendidik pengguna, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Solah berkata, sistem itu dilaksanakan di 831 kawasan 'hitam' kemalangan termasuk di 270 lokasi lampu isyarat.

Setiap kamera di kawasan terlibat akan dipasang papan tanda isyarat kawasan bagi membolehkan orang ramai berjaga-jaga sebelum tiba di kawasan berkenaan, katanya.

Katanya, lebih banyak siri perjumpaan dan majlis penerangan akan diadakan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenai AES sebelum ia dilaksana sepenuhnya ke seluruh negara.

Jelas beliau, perjumpaan itu turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan terutama untuk mengelak kekeliruan berhubung sistem itu.

"Maklum balas itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri melalui mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha
Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa," katanya.