BALIK PULAU - Kenaikan pangkat guru-guru tidak akan berlaku secara automatik sebaliknya mereka harus melalui proses temuduga dan sebagainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kaedah kenaikan pangkat guru terbabit akan diputuskan setelah perbincangan antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan kerajaan selesai kelak.

"Berkaitan soal kebajikan guru kita sudah ambil kira. Tetapi apapun,keputusan muktamad belum tercapai kerana urusan ini telah kita bawakan kepada  Jabatan Perkhidmatan Awam disamping perbincangan di peringkat wakil-wakil kesatuan dan Cuepacs, katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Katanya, isu kenaikan pangkat itu bagaimanapun dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang memetiksebanyak 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.  – Bernama