SEREMBAN – Seorang tukang paip ditahan selepas dipercayai merogol seorang remaja berusia 15 tahun sehingga mengandung dalam kejadian di Teluk Kemang, Port Dickson, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian Jumaat lepas jam 9.48 pagi, polis menerima laporan daripada pihak hospital Port Dickson memaklumkan bahawa seorang remaja perempuan didapati mengandung enam bulan.

“Pengaduan pihak hospital kerana mengikut prosedur pihak hospital untuk melaporkan remaja bawah umur yang mengandung dan susulan siasatan yang dijalankan, tangkapan dilakukan ke atas suspek berusia 40an semalam selepas dia datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kes lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Port Dickson selama empat hari bermula hari ini untuk melengkapkan siasatan dan dijangka dituduh Khamis ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama