BEKAS pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah menegur usahawan tempatan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, berikutan teaser video Semalam Bobo Dimana yang disifatkan melampau dan amat meloyakan.

Menurut Wardina, menerusi akaun Facebook miliknya, dia memohon maaf kerana terpaksa bersuara apabila video terbabit dianggap tidak menghormati sambutan Aidiladha esok.

"Saya tahu Datuk kaya. Saya rela tak kaya dari kaya tapi terpaksa buat benda begini. Nauzubillah.

"Di hari-hari paling mulia bagi umat Islam, tersebarnya video begini. Maaf Datuk... saya sayangkan Datuk dan Datin sekeluarga kerana ALLAH. Ini sudah melampau. Terlalu bodoh, terlalu over dan amat meloyakan.

"Maafkan saya. Moga Datuk dapat refleksi diri dan cari cara memandaikan masyarakat kita bukan sebaliknya. Wallahualam.

"Mohon Datuk padam video IG bersama dua 'wanita' yang menggoyangkan dan menayangkan buah dada mereka. Menjijikkan," tulisnya.

Terdahulu Aliff memuat naik video tarian kontroversi itu di Instagram miliknya dua hari lalu.

Lagu Semalam Bobo Dimana adalah nyanyian penyanyi dangdut kontroversi Indonesia, Lucinta Luna yang berkolaborasi dengan Aliff Syukri dan seorang lagi usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Video berdurasi 34 saat yang dimuat naik di Instagram Aliff Syukri dua hari lalu memaparkan, usahawan kosmetik itu bersama dengan Lucinta dan Sajat menyanyi sambil menari mengikut rentak lagu dangdut terbabit.

Namun tarian itu agak keterlaluan apabila Lucinta dan Sajat tampil berpakaian seksi sambil menggoyangkan buah dada mereka.