MANILA - FILIPINA. Pemimpin 10 negara anggota Asean hari ini menandatangani Konsensus Asean bagi Perlindungan dan  Penggalakan Hak Pekerja Migran bertujuan melindungi jutaan pekerja migran di seluruh Asia Tenggara.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang mempengerusikan sidang kemuncak itu tahun ini, mengiringi tetamunya termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menandatangani dokumen berkenaan di akhir   Sidang  Kemuncak Asean Ke-31 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang berlangsung selama tiga hari di sini.

Pemimpin-pemimpin Asean menandatangani perjanjian itu selepas sedekad Deklarasi Cebu  mengenai  Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran, ditandatangani.

Antara peruntukan di dalam dokumen Konsensus Asean, ialah mendukung keadilan layanan terhadap pekerja migran, memberikan hak melawat  kepada  anggota  keluarga, mencegah rampasan pasport dan caj berlebihan ke atas bayaran pengambilan pekerja.

Ia juga melindungi mereka daripada keganasan dan gangguan seksual di tempat kerja, mengawal  perekrut pekerja untuk perlindungan yang lebih baik bagi pekerja, dan menghormati hak mereka untuk gaji dan faedah yang sesuai dan berpatutan serta hak untuk menyertai kesatuan sekerja dan persatuan.

Seperti kesemua perjanjian Asean, pelaksanaan Konsensus Asean, yang tidak terikat di sisi undang-undang, akan tertakluk kepada undang-undang negara anggota masing-masing.

Menurut laporan media di sini, Filipina dan Indonesia berusaha supaya  kerangka  konsensus itu terikat di sisi undang-undang sementara Singapura dan Malaysia menyuarakan kebimbangan bahawa ia akan menggalakkan kemasukan lebih banyak pekerja migran yang tidak sah.  

Minggu lalu, Jurucakap Jabatan Hubungan Luar Filipina Robespierre Bolivar berkata perjanjian itu adalah ’satu kepentingan utama’ Filipina selaku Pengerusi Asean, yang dihuni  lebih 600 juta penduduk.  

Menurut Bank Dunia, hampir tujuh juta atau dua pertiga daripada 10 juta pekerja migran  antarabangsa   tinggal dan bekerja di Asean datang dari rantau ini.

Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Vietnam dilihat sebagai negara ‘penghantar’ utama pekerja migran sementara Malaysia, Singapura dan Thailand adalah antara negara ‘penerima’ utama. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.