LONDON - BRITAIN. Penyiasat Britain percaya mereka telah mengenal pasti identiti dalang di sebalik serangan agen saraf Novichok ke atas bekas agen Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury pada Mac lalu.

Media tempatan, hari ini melaporkan beberapa rakyat Rusia dipercayai terlibat dalam cubaan membunuh Skripal.

"Mereka kini memburu lebih daripada seorang suspek," jelas laporan itu.

Difahamkan, suspek terbabit dikenali menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan terhadap rekod individu yang keluar dan masuk ke Britain pada masa tersebut.

Awal minggu lalu, polis antikeganasan juga melancarkan siasatan ke atas kes kematian seorang wanita pada 8 Julai lalu, lebih seminggu selepas dia jatuh sakit berikutan terdedah kepada agen saraf Novichok berhampiran bandar Salisbury. - Reuters