AHLI perniagaan, Munya Chihota tersenyum apabila mengingati semula ketika dia menyertai perarakan bersama puluhan ribu rakyat Zimbabwe untuk mendesak bekas presiden, Robert Mugabe meletak jawatan tidak lama selepas tentera mengambil alih kuasa.

Ia adalah beberapa hari sebelum Mugabe dipaksa berundur pada 21 November 2017 yang mana pemimpin veteran itu mendakwa ia sebagai satu rampasan kuasa.

"Ia adalah detik paling gembira. Semua rakyat berkumpul tanpa mengira warna kulit dan peringkat umur berharap akan berlaku perubahan," kata Chihota, 41, di mana rakyat Zimbabwe bersatu menuntut pengunduran Mugabe yang telah memerintah selama 37 tahun.

Kini, perasaannya bercampur baur.

"Malangnya, hanya seorang individu dan segelintir penyokongnya disingkirkan kerana sistem lama masih kekal," ujarnya kecewa.

Ramai rakyat berharap penggulingan Mugabe, 94, yang memegang tampuk pemerintahan sejak negara itu memperoleh kemerdekaan daripada penjajah British pada 1980 akhirnya akan membawa perubahan selepas kemerosotan ekonomi, rasuah dan penindasan di negara itu selama beberapa tahun.

Setahun sudah berlalu dan hanya sedikit perubahan yang menunjukkan Zimbabwe melangkah ke era baharu.

Inflasi melampau

Harga pengguna pada bulan lalu meningkat pada kadar terpantas sejak inflasi melampau sedekad lalu dengan inflasi tahunan mencecah 20.9 peratus.

Bagaimanapun, rakyat negara itu mendakwa kadar sebenar adalah jauh lebih tinggi.

Wang tunai masih berkurangan yang mana pendeposit terpaksa beratur di luar bank untuk mengeluarkan 'nota bon' yang sepatutnya sama dengan dolar Amerika Syarikat, namun nilainya sebenarnya adalah jauh lebih rendah.

Rakyat bergelut jalani kehidupan seharian

Kekurangan bekalan makanan dan keperluan harian seperti roti, ayam, minyak masak dan bahan api menjadi lebih buruk sejak kejatuhan Mugabe.

Situasi itu berlaku kerana negara terbabit kehabisan mata wang asing untuk membeli barangan import.

Keadaan di mana pengguna terpaksa beratur panjang di luar stesen minyak dan kedai yang tidak mempunyai barang adalah perkara biasa malah bekalan ubat-ubatan juga berkurangan selain harga jauh lebih mahal.

Kumpulan protes terdiri daripada para guru membantah kos hidup yang tinggi pada awal bulan lalu.

Politik yang sama?

Parti Mugabe, ZANU-PF menang dengan mudah ketika pilihan raya pada Julai lalu dan masih menguasai parlimen.

Pemimpin parti itu, Emmerson Mnangagwa yang menggantikan Mugabe memenangi pilihan raya presiden dengan memperoleh lebih 50 peratus undi, sekali gus dapat mengelakkan pemilihan pusingan kedua untuk bersaing dengan pencabarnya, Nelsin Chamisa dari parti utama pembangkang, MDC yang mendakwa wujud penipuan dalam keputusan tersebut.

Penindasan sudah jadi kebiasaan

Mnangagwa pernah berjanji akan mewujudkan Zimbabwe yang lebih bebas dan terbuka selepas pengunduran Mugabe.

Tetapi, pembangkang, penunjuk perasaan dan aktivis masih ditindas.

Pada 1 Ogos lalu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan dan menyebabkan sekurang-kurangnya enam terbunuh di Harare ketika protes membantah kelewatan keputusan pilihan raya.

Ahli parti MDC dan pengkritik kerajaan juga sering menjadi sasaran walaupun kerajaan menafikan perkara itu.

Dana antarabangsa masih disekat

Harare perlu menghapuskan tunggakannya sebelum ia boleh mendapatkan lebih banyak pinjaman bagi membina semula negara itu.

Dengan jumlah hutang AS$16.9 bilion (RM70.7 bilion), Zimbabwe mendakwa ia akan menjelaskan tunggakan hampir AS$2 bilion (RM8.3 bilion) terhadap Bank Pembangunan Afrika dan Bank Dunia menjelang Oktober 2019. - AFP