CHIANG RAI - THAILAND. Penantian rakyat Thailand dan keluarga mangsa pemain bola sepak remaja Wild Boars berakhir apabila baki lima mangsa yang terperangkap di gua Tham Luang berjaya dikeluarkan, hari ini.

Kesemua 12 budak bola dan jurulatih mereka terperangkap di dalam sistem gua Tham Luang selama 18 hari, selepas paras air naik mendadak akibat hujan monsun melanda wilayah Chiang Rai.

Tentera laut Thailand dibantu pakar penyelam luar negara bertungkus lumus mengeluarkan mangsa sejak Ahad lalu.

Empat mangsa pertama berjaya diselamatkan pada hari pertama operasi menyelamat dan empat lagi dibawa keluar semalam.

Sebelum ini, operasi menyelamat berdepan kesukaran kerana kesemua budak bola terbabit tidak tahu berenang atau menyelam.

Ia ditambah lagi dengan kematian salah seorang anggota penyelamat, Samarn Poonan, 38, yang meninggal dunia pada Khamis kerana tidak mendapat bekalan oksigen mencukupi semasa menghantar tong bekalan oksigen kepada mangsa.

Mangsa dalam lingkungan umur 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka, Ekapol Chanthawong, 25, dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu, akhirnya ditemui pasukan pencari dan menyelamat Britain pada 2 Julai lalu.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian dunia termasuk penganjur Piala Dunia yang menghantar jemputan khas untuk menghadiri perlawanan akhir jika mereka dapat diselamatkan sebelum tarikh perlawanan. - The Guardian