SINGAPURA - Tiga kapal dagang berjaya menyelamatkan 11 orang dari sebuah kapal yang tenggelam di Laut China Selatan, dalam wilayah Mencari dan Menyelamat Maritim Singapura, menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelaburan Singapura (MPA).

Dalam satu kenyataan di sini, MPA berkata pihaknya diberitahu mengenai insiden itu pada kira-kira 3.50 petang hari Jumaat.  

"Menurut mereka yang terselamat, terdapat 13 kru dalam kapal itu, dua orang masih tidak dapat dikesan,” kata MPA.  

MPA berkata ia telah mengadakan siaran navigasi kepada kapal-kapal di kawasan berkenaan bagi melaporkan jika ternampak orang yang tercampak dari kapal dan belayar dengan hati-hati di kawasan insiden.  

Pasukan Udara Republik Singapura (RSAF) telah juga menggerakkan sebuah helikopter Super Puma dan sebuah pesawat ronda maritim  Fokker-50 untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, katanya.

MPA menyatakan ia menyelaraskan operasi itu dengan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :