CHIANG RAI - THAILAND. Syarikat produksi filem Amerika Syarikat (AS) telah tiba di Thailand dan mula merancang untuk mengangkat kisah inspirasi penyelamatan 12 budak bola dan jurulatih mereka ke layar perak.   

Pihak Hollywood telah tiba di kaki bukit sistem gua gunung di Thailand di mana salah satu operasi menyelamat paling berani di dunia sedang dijalankan.  

Dua produser AS sudah merancang satu projek filem mengenai pasukan bola sepak remaja Wild Boars dan jurulatih mereka dan menjangkakan kejayaan pecah panggung global.  

“Saya melihat ini sebagai filem Hollywood menarik dengan senarai pelakon ternama” kata Michael Scott, rakan kongsi syarikat filem Pure Flix, kepada wartawan di Chiang Rai.  

Scott dan pengasas bersama Adam Smith telah mengadakan penyelidikan awal di sekitar kawasan gua Tham Luang, di mana usaha terakhir sedang dijalankan untuk menyelesaikan proses penyelamatan 13 mangsa yang terperangkap di gua akibat peningkatan air banjir lebih dari dua minggu lalu.  

Scott dan Smith juga merancang untuk menemu bual mangsa-mangsa dan pasukan penyelamat asing serta Tentera Laut SEALS Thailand, mangsa dan keluarga mereka dan mendapatkan hak eksklusif untuk cerita mereka.  

Ditanya sama ada tindakan mereka mungkin dianggap tidak sensitif pada waktu yang salah, Smith berkata: “Akan ada syarikat pengeluaran lain yang masuk memotong jalan, jadi kami perlu bertindak dengan cepat.” - news.com