THE HAGUA - BELANDA. Bekas pemimpin angkatan tentera waktu perang Bosnia-Herzegovina - Serbia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, semalam.

Menurut laporan CNN, Ratko Mladic didapati bersalah dan bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai sepanjang tempoh perang pada 1992 hingga 1995.

Seramai 100,000 mangsa maut dan 2.2 juta lagi menjadi pelarian sepanjang tempoh berkenaan.

Mladic berhadapan dua dakwaan pembunuhan beramai-ramai dan sembilan dakwaan jenayah terhadap umat manusia dan jenayah perang.

Mladic juga dituduh merancang kempen pembersihan etnik termasuk penyembelihan beribu-ribu penduduk beragama Islam termasuk kanak-kanak pada Julai 1995 di Srebrenica.

Berdasarkan rekod, kejadian tersebut adalah pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat pernah berlaku di Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Mladic ditahan pada 2011 mula dibicarakan pada 2012 di Tribunal Jenayah Antarabangsa di The Hague, melibatkan 530 hari, lebih 500 saksi dan 10,000 bahan bukti.

Mladic, bekas jeneral yang dikenali sebagai 'Butcher of Bosnia' sebelum ini melabel mahkamah sebagai 'syaitan' dan mendakwa tuduhan ke atasnya 'mengarut'.

Memutuskan hubungan bandar Sarajevo dengan dunia luar menggunakan angkatan tentera adalah antara jenayah perang Mladic.

Selanjutnya, tentera Serbia dibawah arahan Mladic mengebom Sarajevo dari tanah tinggi setiap hari dan menyebabkan lebih 10,000 penduduk maut.

Selepas perang tamat pada 1995, Mladic menghilangkan diri sebelum dikesan polis, 16 tahun kemudian di sebuah rumah kecil di utara Serbia.

Mladic yang ketika itu lengkap bersenjata dengan dua pistol telah menyerah diri secara aman dan dipindahkan ke Belanda.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :