PADA 2001, Kim Cheol-woong duduk di depan piano untuk berlatih lagu yang ingin dimainkan saat melamar kekasihnya.

Lagu balada sentimental berjudul “A Comme Amour” yang biasa dibawakan Richard Clayderman menjadi pilihan Cheol untuk memikat perempuan yang telah dia kenal sejak berusia lapan  tahun ketika sama-sama belajar piano.

Tidak sangka, lagu romantis tersebut  membahayakan Cheol Woong. Seorang pejalan kaki yang kebetulan mendengar alunan nada lagu itu melaporkannya ke jabatan keamanan negara.

Tidak lama kemudian, Cheol Woong dipanggil pihak berkuasa keamanan Korea Utara lantas disoal bertubi-tubi.

“Di manakah pertama kali kamu mendengar muzik itu? Apa perasaan kamu mendengar muzik itu? Kamu memainkan lagu itu untuk siapa?” kata Cheol-woong, meniru pertanyaan penyiasat yang menyiasatnya selama berjam-jam.

Cheol-woong menjelaskan, dia pertama kali mendengar lagu itu ketika belajar di Rusia. Dia menyukainya dan mengingatnya agar boleh dimainkan untuk kekasihnya setelah pulang.

Bakatnya sebagai pemain piano terserlah sejak kecil. Setelah  lulus pengkhususan muzik klasik dari sebuah universiti elit di Pyongyang, dia ditawarkan melanjutkan pengajian  ke institusi muzik tersohor di Moscow, Rusia.

Ketika sedang lepak di kafe di ibu kota Rusia tersebut, dia mendengar muzik jazz untuk pertama kalinya dan terus 'jatuh cinta' pada muzik tersebut. Sayangnya, pihak berkuasa keamanan Korea Utara tidak peduli.

Cheol-woong diminta menulis surat mohon maaf sepanjang 10 muka surat kerana  memainkan jenis muzik yang salah.

Bagi mengelak hukuman berat,Cheol-woong berbohong dengan mengaku berasal dari keluarga yang berkuasa, taktik itu berjaya. Namun, pengalaman itu membuatnya berfikir ulang kali mengenai negara tempat tinggalnya.

“Ketika saya di Moscow ramai yang mengkritik Korea Utara, tetapi saya berasa lebih berjiwa patriotisme di tanah asing. Saya berfikir, ‘apa pun yang mereka katakan tidak akan mengusik saya. Saya akan melakukan yang terbaik, setia, dan berkhidmat kepada negara dengan kemampuan bermuzik,’” katanya.

“Saya mulai sedar harus melepaskan pelbagai perkara agar boleh hidup sebagai pianis di Korea Utara. tetapi akhirnya saya kecewa. Saya menderita selama tiga hari mencari keputusan untuk melarikan diri atau tidak,” kata Cheol-woong.

Pada akhirnya, dia memutuskan melarikan diri dari Korea Utara. Walaupun dia khuatir tindakan itu akan menyebabkan kesan negatif pada keluarganya, dia percaya mereka akan memahami dan menyokong keputusannya itu.

Dia meninggalkan pesan untuk kekasihnya, “Jangan tunggu saya!”, dan Cheol-woong pun pergi tidak mengucapkan selamat tinggal.

“Saya tidak mungkin membincangkan perkara itu dengan sesiapa. Jadi, saya bersiap-siap seorang diri. Saya diberitahu bila menyeberangi Sungai Tumen. Saya boleh masuk ke dunia bebas menerusi China. Jadi, saya menuju ke sungai itu kerana memiliki kad pengenalan Pyongyang, saya tidak ditangkap di pos pemeriksaan pengenalan,” katanya.

Berjalan sendiri, tanpa banyak barang selain wang tunai sebanyak  RM9,800, dia tiba di sungai itu pada tengah malam.

“Saya sangat takut. Saya melihat sekeliling dan mencari cara untuk menyeberang. Lalu, para anggota tentera yang bersembunyi menjumpai saya dan menghunus senjata.

“Saya mengangkat tangan, tetapi ingat wang tunai yang saya bawa. Saya memberikan kesemua duit itu kepada mereka. Setelah mereka menerima wang itu, dan membantu saya menyeberang ke China,” kata dia.

Jadi petani di China

Setelah tiba di China, Cheol-woong diarahkan ke sebuah kampung kecil.

“Saya mengatakan kepada warga di sana, saya boleh main piano. Namun, mereka berkata, kamu masih harus bekerja. Jadi, saya kerja pembantu di ladang pertanian. Saya juga bekerja sebagai penebang kayu di pergunungan. Masa itu sungguh berat dan sukar bagi saya. Saya penat, lapar, dan kesejukan,” ujarnya.

Ketika bekerja di sebuah kilang kayu, dia bertemu dengan seorang warga Korea Utara lain yang menceritakan tentang sebuah gereja yang memiliki piano. Piano itu sudah usang dan tidak berfungsi dengan baik, tetapi Cheol-wong sangat gembira melihatnya.

“Ketika saya bermain piano lagi, saya menjadi sangat emosional, saya tersentuh,” katanya.

Cheol-woong menjadi pianis tetap di gereja itu, memukau semua orang dengan kehebatannya. Dia berpura-pura menjadi orang Korea Selatan yang tidak bisa berbahasa China dengan lancar.

Akhirnya, setelah lebih  setahun  meninggalkan Pyongyang, dia berjaya  mendapatkan pasport Korea Selatan palsu dan terbang ke Seoul menuju kehidupan baru. Dia menikah, memiliki keluarga, dan membina kerjaya sebagai pianis konsert dan membuat persembahan di seluruh dunia.

Dia juga telah mendirikan yayasan amal untuk mendidik anak-anak yang lari dari Korea Utara.

“Saya ingin membantu anak-anak ini melalui pendidikan muzik. Yang penting, saya ingin menunjukkan masa depan penyatuan melalui mereka," katanya.

Demi mencapai tujuannya, Cheol-woong baru-baru ini membuat orkestranya sendiri bernama Arirang Youth Orchestra yang terdiri dari remaja-remaja Korea Utara dan Korea Selatan.

“Arirang” adalah sebuah lagu rakyat Korea tradisional mengenai cinta dan kehilangan. Dia mengatakan, itu satu-satunya lagu yang diketahui warga Korea Utara dan Selatan. Ketika saya memperkenalkan mereka, suatu momen indah terjadi. Awalnya, terdapat kesunyian, namun, setelah 10 minit, mereka mulai bermain bersama dan berkawan. Melalui muzik dan kerjasama, saya melihat anak-anak ini mulai membantu dan menyokong satu sama lain.

“Anak-anak muda ini sudah mengalami unifikasi, mereka menjadi satu. Jadi, kita boleh  membayangkan masa depan Korea yang satu melalui mereka. Ditambah lagi, orkestra ini mampu menyampaikan pesan keharmonian muzik kepada mereka yang masih berperang di seluruh dunia,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.