BENGHAZI - LIBYA. Sekurang-kurangnya 33 maut manakala lebih 50 lagi tercedera dalam serangan bom berkembar yang berlaku di bahagian timur bandar, daerah Al-Salmani semalam.

Portal antarabangsa melaporkan, mangsa yang terlibat termasuk pegawai forensik dan orang awam.

Letupan pertama melanda di luar sebuah masjid di bandar itu ketika para jemaah selesai solat.

Kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian, letupan kedua meletus dari sebuah kereta Mercedes yang diletakkan di seberang jalan, memusnahkan ambulans dan menyebabkan jumlah maut lebih tinggi.

Pihak berkuasa Libya mengesahkan salah seorang yang terbunuh termasuk Ahmed al-Feitouri dari unit penyiasatan dan penangkapan Libya.

"Seorang pegawai risikan kanan, Mahdi al-Fellah juga merupakan antara 50 orang yang cedera.

"Mangsa maut termasuk orang awam, antaranya warga Mesir yang bekerja di sebuah kedai sayur di depan masjid," kata sumber daripada pihak berkuasa Libya.

Pasukan perubatan turut menjangkakan angka korban meningkat susulan kecederaan parah yang kritikal dihadapi mangsa.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :