MADRID - SEPANYOL. Keadaan perubatan yang jarang berlaku dan mengancam nyawa menyebabkan wanita di Sepanyol ini terpaksa tinggal dalam kotak kaca selama 13 tahun.

Juana Munoz dari Cadiz tidak dapat memeluk malah mencium suami atau anaknya kerana penyakit misteri tersebut dan bekas kaca berukuran 25 meter itu telah menjadi 'rumahnya' selama lebih sedekad.

Menurut akhbar tempatan, Munoz mengalami empat keadaan luar biasa termasuk fibromyalgia, sindrom keletihan kronik dan tanda-tanda elektrosensitiviti,

Munoz memberitahu, keadaan misteri itu bermula selepas dia melahirkan anak pertama apabila dia mula mengalami simptom pelik ketika sedang membersihkan kentang ditanam suaminya yang menyebabkan mata dan lidahnya membengkak hingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi.   

Jelasnya, dia mungkin mengalami keracunan akibat agen antigerminasi yang digunakan pada tanaman tersebut dan ia berlarutan hingga kini.

Sejak tinggal di dalam bekas kaca itu, suaminya, Manuel tidak pernah berhenti memberi motivasi kepadanya malah turut menanam sayur-sayuran bagi membolehkan Munoz memakan makanan organik segar.

Ketika ini, pasangan tersebut sedang menunggu topeng muka organik dari Dallas bagi membolehkan wanita terbabit kembali menjalani kehidupan seperti orang lain. - The Mirror