ALOR SETAR - Kerajaan BN Kedah menunaikan janji manifesto PRU13 lalu apabila lebih 40,000 unit rumah mampu milik diluluskan di negeri ini sepanjang lima tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, jumlah keseluruhan rumah yang dibangunkan oleh kerajaan negeri mahupun pemaju swasta sudah melepasi sasaran dijanjikan.

“Kelulusan membangunkan projek perumahan melebihi 40,000 unit, namun sebahagian pemaju ambil sedikit masa untuk bina, kerana mereka perlu sesuaikan dengan suasana ekonomi semasa dan menunggu masa sesuai untuk laksana,” katanya selepas majlis pecah tanah perumahan bercampur SK Grand Development Sdn Bhd seluas 2.7 hektar di Alor Keladi, Mukim Langgar.

Menurutnya, kelulusan yang diberikan ini meliputi keseluruhan daerah di negeri ini termasuk projek perumahan bawah kerajaan negeri dan kerjasama swasta.

“Antaranya, rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), serta Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada permohonan yang telah dibuat menerusi majlis daerah serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Kerajaan negeri juga aktifkan semula jawatankuasa pra Exco tanah bagi menyelesaikan lambakan fail permohonan pembangunan hartanah. Ini kerana permohonan yang diterima terlalu banyak, ini antara usaha mempercepatkan proses sebelum diputuskan dalam mesyuarat Exco,” katanya.

Menurutnya, terdapat fail yang tersadai sehingga dua tahun dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Mohon pejabat tanah proses secepat mungkin, jika tidak pemaju akan ubah perancangan daripada bina rumah untuk rakyat kepada industri. Kita perlu proaktif kerana sambutan menggalakkan selain mahu capai sasaran satu rumah setiap keluarga,” katanya.

Ahmad Bashah turut mempelawa lebih ramai pemaju tampil membangunkan kawasan pegangan bebas mahupun tanah rizab Melayu, kerana keduanya berpotensi untuk memenuhi permintaan 2.2 juta rakyat Kedah.

“Ramai pemaju pilih untuk bangunkan kawasan pegangan bebas, namun kita perlukan pembangunan seimbang termasuk pinggir bandar, di mana terdapat daerah yang perlukan pembangunan.  Pembangunan atas tanah rizab Melayu juga boleh dibangunkan kerana bumiputera juga mampu membeli unit yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, Kedah merancang untuk mewujudkan pelabuhan darat di Bukit Kayu Hitam seiring dengan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam (SBEZ) bagi mengelakkan ketirisan hasil ke Pulau Pinang.

“Segala dokumentasi dilakukan di pelabuhan darat di Bukit Kayu Hitam sebelum produk dieksport dihantar ke Pelabuhan Pulau Pinang, selain melihat keperluan bina sebuah pelabuhan di Pulau Bunting, Yan atau Kuala Kedah untuk atasi kesesakan,” katanya.