KUALA NERANG- Seramai 300 penduduk di  Kampung Kubu, Mukim Kurung Hitam merayu kepada pihak berkuasa tempatan  supaya dapat mempercepatkan bagi membaiki  tebing tanah yang semakin runtuh di kampung itu.

Penduduk mendakwa tebing di kampung itu semakin runtuh selepas Empangan Pedu melepaskan air untuk aktiviti sawah serta banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)Kampung Kubu,Md Saad Bakar  berkata, sebelum ini hakisan sudah pun berlaku dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  membaikinya dengan meletak sangkar batu sepanjang 35 meter (m).

Bagaimanapun banjir yang berlaku pada awal September menyebabkan tebing itu sekali lagi terhakis hingga menyebabkan beberapa pokok yang usianya melebihi 100 tahun turut terhumban ke dalam Sungai Padang Terap.

“Hakisan kali ini semakin serius kerana hanya tinggal 3meter sahaja lagi mencecah jalan utama di kampung yang digunakan oleh  penduduk di sini. Paling membimbangkan lagi hakisan itu juga turut mengancam surau berdekatan.

“Sebelum ini beberapa  tiang elektrik juga turut diubah supaya mengelak dari terhumban masuk kedalam sungai dan penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu supaya mengelak hakisan lagi,” katanya.

Md Saad berkata, hakisan itu menyebabkan tanah seluas  10 meter sudah pun runtuh ke dalam sungai dan jika tiada usaha dilakukan tidak mustahil masalah itu akan berlarutan hingga menjejaskan jalan serta surau di kampung nanti.

Sementara itu, Jurutera JPS Padang Terap/Kubang Pasu , Mohamad Suaimi Ramli  yang turut membuat tinjauan di situ  berkata, hakisan itu semakin serius kerana banjir yang berlaku dua kali pada bulan ini.

Katanya, hakisan itu berlaku selepas air Sungai Padang Terap mulai surut  dan pada kali ini semakin serius lagi apabila pokok yang berusia 100 tahun menjadi benteng hakisan juga turut terhumban masuk ke dalam sungai.

“JPS akan memohon peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membina cerucuk keluli sepanjang 35 meter di sepanjang kawasan yang terhakis itu. Sebelum itu JPS sudah pun menambak tanah dan meletakkan sangkar batu tetapi masalah banjir serta aliran air yang kuat dari Empangan Pedu menyebabkan tanah di situ mengalami hakisan.

“Masalah hakisan itu akan dilakukan secepat mungkin supaya laluan utama dan surau di kampung itu tidak akan terjejas nanti. Diharap dengan tindakan menanam cerucuk keluli itu dapatlah masalah hakisan itu dapat di atasi,” katanya.

Turut hadir pada lawatan di tanah hakisan itu ialah Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim yang membuat tinjauan mengenai masalah itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUCHONG - Syarikat kontraktor yang dilantik pemaju bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan tebing runtuh di Blok B3, Taman Puncak Kinrara pada 15 November lalu, sebelum ini berjanji akan menyiapkan kerja tersebut dalam tempoh sebulan.
  • MELAKA TENGAH - Penduduk di Lorong Utama 2, Ayer Keroh Heights di sini berhadapan detik cemas apabila tebing bukit yang terletak enam meter dari rumah masing-masing runtuh dalam kejadian petang semalam.
  • RAWANG - Tebing Sungai Samak yang ketinggiannya dianggarkan lima meter runtuh dan turut menjejaskan sebahagian kecil kawasan loji Indah Water Konsortium (IWK) Sendirian Berhad di Taman Tun Teja di sini.
  • SEREMBAN - Penduduk di Kampung Batang Benar Hilir merayu tindakan baik pulih hakisan tebing Sungai Pajam yang kini semakin serius disegerakan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.