PENDANG - Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob menafikan memberi rasuah kepada perwakilan Umno bagi memilihnya sebagai ketua, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengakui terdapat perjumpaan dibuat sebelum hari pengundian berlangsung.

“Memang kita ada buat perjumpaan tetapi tidak melibatkan soal pemberian wang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai surat yang dikirim di Pejabat Sinar Harian, Alor Setar.

Surat yang dinyatakan datang daripada ahli Umno Kampung Kubang Teradeh itu tidak mempunyai sebarang bentuk tandatangan dan hanya nama pengirim terpapar di bahagian sampul.

Surat yang bertarikh 6 Julai itu mengandungi rintihan dan kritikan kemenangan Suraya sebagai Ketua Umno Bahagian Pendang bagi penggal 2018-2021.

Kandungan surat berkenaan turut mendakwa Suraya membeli undi dengan merasuah perwakilan Umno untuk memilih beliau.

Penulis dan ahli-ahli Umno berkenaan meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan siasatan mengenai perkara ini.

Dalam pada itu, Suraya yang juga Adun Sungai Tiang berkata, beliau akan membuat laporan polis bagi melindungi diri dan nama baiknya.

“Ini kali pertama saya dapat surat macam ni, biar saya baca dulu dan semak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.