ALOR SETAR - Kontinjen Kedah bersedia berdepan saingan Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 pada September depan.

Exco Belia dan Sukan, Asmirul Anuar Aris berkata, secara keseluruhannya, semua atlet telah bersiap sedia hadapi Sukma Perak tidak lama nanti.

Asmirul berkata, beliau mendapati semua atlet Kontinjen Kedah membuat persediaan rapi sebelum menghadapi acara sukan itu.

"Semuanya sedia, esok (hari ini) akan ada penyerahan kepada saya selaku Ketua Kontinjen Kedah ke Sukma Perak 2018. Malah, kita juga buat penyerahan bendera bersama kakitangan pentadbiran negeri.

"Seperti sebelum ini, kita meletakkan sasaran pingat antara 25 hingga 30 untuk dimenangi atlet Kontinjen Kedah dalam kejohanan terbabit," katanya dalam sidang media Kedah Colour Bubble Run 2018 di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, katanya, kira-kira 1,000 hingga 3,000 peserta disasarkan mengambil bahagian dalam Kedah Colour Bubble Run 2018 di Kulim Hi-Tech, Kulim pada 22 September nanti.

Menurutnya, aktiviti larian ini diadakan demi mengeratkan hubungan di antara peserta, memupuk gaya hidup sihat di kalangan masyarakat dan jelajah kemerdekaan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, peserta akan memulakan larian sejauh 10 kilometer (km) di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) bermula sewal 7 hingga 10 pagi dengan melalui kawasan perindustrian itu.

"Lebih menarik, peserta akan ditaburi tepung berwarna warni dan dihiburkan artis terkenal tempatan, Janna Nick sebaik tamat larian, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah bertuah," katanya.

Menurutnya, setiap peserta akan menerima medal dan baju-T dengan bayaran RM50 untuk orang awam, manakala RM45 untuk peserta dari kalangan ahli Kulim Industrial Tenants Association (KITA).

Katanya, aktiviti itu dianjurkan salah sebuah anak syarikat milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), Global Media Communication Sdn Bhd dengan kerjasama KITA, Majlis Perbandaran Kulim, MBI Kedah dan Kulim Hi-Tech.

Asmirul berkata, pihaknya sememangnya menggalakkan aktiviti seumpama ini dalam usaha meningkatkan pelancongan sukan di Kedah yang mampu memberi impak ekonomi dan pelancongan.

Orang ramai yang berminat menyertai aktiviti larian itu boleh memuat turun borang penyertaan dan membuat bayaran dalam talian di laman web MBI, Global Media Communication Sdn Bhd dan Kedah Colour Bubble Run 2018.