PADANG BESAR - Seorang pelajar Tingkatan Empat yang dipercayai mencuri sebuah kereta serta lapan lagi yang mencuri motosikal diberkas polis dalam ‘Ops Lejang’ di negeri ini dalam masa lima hari bermula 19 September hingga Sabtu lepas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata pelajar sebuah sekolah menengah di Padang Besar itu mencuri sebuah kereta di sebuah rumah di Bukit Ketri di sini semasa pemiliknya bekerja di Alor Setar pada 15 Ogos lepas.

“Pelajar itu diberkas di rumah keluarganya di Bukit Ketri pada 19 September setelah sempat menggunakan kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu selama seminggu sebelum meninggalkannya di stesen keretapi Bukit Ketri,” kata Azisman pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata lapan lelaki lain termasuk seorang remaja berumur 14 tahun hingga 27 tahun yang dipercayai mencuri 13 buah motosikal turut diberkas dalam operasi tersebut di Kuala Perlis dan Beseri.

“Semua suspek terbabit bekerjasama dalam kegiatan mereka termasuk pelajar tersebut,” kata Azisman sambil menambah hasil soal siasat membawa kepada penemuan sembilan rangka motosikal yang telah dileraikan di dalam sungai Tambun Tulang, Arau.

Azisman berkata polis juga merampas empat buah motosikal pelbagai jenis dengan penangkapan lelaki tersebut.

Katanya kumpulan tersebut bergerak aktif pada waktu malam sehingga awal pagi dalam melakukan jenayah curi motosikal di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.

Saringan ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis syabu.

Kesemua suspek pada awalnya direman empat hari dan dilanjutkan tiga hari lagi bermula dari tarikh tangkapan pada 22 September bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAPAH - Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dalam negeri ini.
  • KOTA BHARU - Himpunan Siswazah Kelantan berharap tiada penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) melibatkan diri dengan pesta arak sama ada dibuat secara tertutup atau sebagainya.
  • SEREMBAN - Seramai 40 pelajar daripada Kolej Vokasional Dato’Lela Maharaja, Rembau berpeluang menyertai Program Perdana Bermalam Di Muzium di Muzium Negeri, Seremban anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan di sini, baru-baru ini.
  • JOHOR BAHRU - Seorang pelajar tingkatan dua dari Taman Nusa Bestari, di sini, trauma untuk ke sekolah selepas dibelasah sekumpulan samseng hingga menerima tujuh jahitan di kepala dan terlantar di hospital selama lima hari.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.