BUTTERWORTH - Kontrak Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Sr Rozali Mohamud akan disambung 19 bulan lagi sehingga 2019.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, perkara ini akan dibawa dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dijadual berlangsung esok.

"Mesyuarat Exco akan memperbaharui serta menyambung kontrak beliau sebagai Yang di-Pertua Majlis mungkin sehingga tahun depan (2019),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjalankan Lawatan kerja ke Penang Sentral, di sini.

Difahamkan, tempoh perjawatan Rozali sebagai Yang di-Pertua MPSP tamat pada 13 Ogos 2018.

Terdahulu, Rozali menjawat jawatan Setiausaha Perbandaran  sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Majlis bagi MPSP pada 3 Julai 2017.